Klik klik

Rabu, Oktober 28, 2009

Pesanan


Saat aku melangkah pergi
iringilah dengan doa nan suci
andai ada terguris di hati
aku bermohon tolonglah dimaafi

aku pergi dan akan kembali
namun perjanjian hidup atau mati
bukan kita penentu hakiki
semuanya adalah janji yang telah termeteri...

Naik Pangkat???



Baru-baru ini aku mengisi borang bagi tujuan kenaikan pangkat (pembancuh teh pun ada naik pangkat ke???. Adaaaaaa... jadi ketua dapur! Hehehe...)

Kalaulah ada rezeki dan kalau boleh.... janganlah aku dihantar ke Putrajaya. Kena pulak aku beli basikal untuk dikayuh di subuh hari (teringat dialog Seniman Bujang Lapok : sebelum subuh untuk merasmikan kandang rimau...). Alang-alang jauh, aku teringin nak bertukar angin ke Malaysia Timur. Tapi, En. Suami mesti tak mahu. Dia sayangkan Kuala Lumpur. Tambah-tambah sayangnya kepada satu-satunya harta tak alih yang kami ada - sebuah rumah.

Apa-apapun rezeki itu Allah Yang Menentukan...

Panggilan Hangit

Pagi-pagi aku memang suka dengar panggilan hangit di Hot.FM. Kadang-kadang aku tak setuju dengan apa yang dikenakan kepada mangsa. Kesian.

Tapi, pagi ini panggilan yang dibuat oleh FBI kepada seorang 'mangsa' membuatkan aku tergelak sendiri. Mangsa bercakap dengan loghat Perak yang agak pekat. Begitu lurus dia melayan 'ugutan' FBI. Sampai sanggup nak robohkan rumah!

Selasa, Oktober 27, 2009

Petang ini

tiba-tiba
kepala berdenyut-denyut
mata menjadi pedih
tekak menjadi mual

kerana apa???

aku sendiri tak pasti...

Kisah malam tadi...


Semalam lepas maghrib, dah selesai lipat dan susun kain baju semua, aku rasa mengantuk. Jadi aku kata dalam hati sendiri, tidur dulu la. Along pun lambat lagi balik dari masjid. Pukul 9.00 nanti baru bangun untuk solat Isyak dan keluar ke KLIA untuk jemput suami.

Pukul 9.00 aku masih bermalas-malas di tempat tidur. Rupanya Along pun dah balik. Dia jenguk ke dalam bilik dan tanya, 'pukul berapa nak pergi?'. Aku jawab pukul 10.00 pun tak apa, ayah belum naik kapalterbang lagi. Along kata eloklah pergi cepat sikit, nanti nak isi minyak kereta lagi. Aku pun siap-siap solat Isyak kemudian kami anak beranak pun keluar rumah.

Kami menggunakan Maju Expressway (Mex) dari Sri Petaling ke KLIA. Perjalanan mulanya lancar sahaja. Tiba-tiba aku mendengar bunyi deruan yang kuat. Aku fikir mungkin ada tingkap yang terbuka. Tapi semuanya elok tertutup. Kudengar Along bersuara, 'rasanya tayar buat hal ni...'. Perlahan-lahan Along menghimpit ke kiri dan berhenti di tepi jalan. Mulanya aku nak suruh Along berhenti di Hentian Seri Kembangan yang terletak lebihkurang 1km sahaja di hadapan. Along kata tak boleh dah.

Aku arahkan adik ngan bangcik keluar dari kereta dan duduk jauh di bahu jalan. Tahu sajalah.. dah banyak kereta yang berhenti di lorong kecemasan disondol oleh kereta dari belakang. Rupa-rupanya tayar belakang sebelah kanan dah rapat ke rim dan jalan!
Along pun dah agak panik. Nasib baik aku teringat untuk menelefon Toyota 24hrs Breakdown Service. Tapi, labihkurang sejam jugalah kami menunggu di tepi lebuhraya tu. Trak MEX yang dihubungi oleh pihak Toyota tu terpasa membuat pusingan U yang jauh untuk ke tempat kami tersadai. Kalau dia boleh menongkah arus, dalam 5 minit pun boleh sampai. Hehehe... jalanraya bukan tempat untuk main-main.. kena ikut undang-undang tau. Petugas MEX tu mengambil masa kurang sepuluh minit untuk menukar tayar tanpa sebarang bayaran dikenakan. Terimakasih banyak-banyak.

Dalam masa yang sama, aku, Along dan Bangcik bergilir-gilir cuba menghubungi suami. rupanya beliau tiba agak lewat di KLIA kerana pesawat MAS itu lambat sedikit berlepas dari Alor Setar.

Setelah dapat dihubungi, suami suruh kami berpatah balik sahaja. Dia akan mengambil teksi. Aku fikir, dah alang-alang baiklah kami teruskan sahaja perjalanan ke KLIA. Akhirnya suami setuju kami menjemputnya. Sampai di rumah dah lebih pukul 12.00 . Dalam mengantuk, suami masih sempat menjamah masakanku. Akhirnya tidur pukul 1.00 lebih. Subuh tadi, belum pukul 5.00 dah bangun semula.

Harap-harapnya aku tak mengantuk hari ni... takut nanti bancuh air campur garam!

Isnin, Oktober 26, 2009

Ini baru betul...





hari ini keluar pejabat tepat 4.30 petang. Along yang jemput. Balik ke rumah, sempat lah masak masakan seperti yang diinginkan petang tadi.. dan itulah hasilnya seperti dalam gambar kat atas... yang tak masuk dalam gambar - ayam goreng halia. Dah siap masak semua tu, baru Along kata nak ayam goreng - tu sebab tiada dalam gambar...

Menu petang ini




Rasanya nak masak yang simple dimple kapadia je... Sawi tumis air, tenggiri goreng garing dan sambal belacan. Tak tahulah sama ada En. Suami nak makan tak malam nanti. Cadangnya, pukul 10.00 baru nak keluar dari rumah dengan anak-anak (Along yang memandu) jemput suami di KLIA. Ikut jadual flight dari Alor Setar tu tiba pukul 10.25 malam. Dari rumah ke KLIA dalam 40 minit. Oklah kut... Pergi cepat-cepat pun, susah nak parking kat depan pintu lapangan terbang tu...


*** gambar dicuri dari rumah pakcik google

Ke Kuching lagi


Gambar ini sewaktu balik dari Kuching tahun lepas, Program Anak Angkat Syarikat tempat suami cari makan.


InsyaAllah, 29 - 31/10 ini aku, suami, bangcik dan adik akan berada di Kuching.

Sebenarnya, aku dah tempah tiket Air Asia ni dalam bulan Mac dulu lagi. Memang murah. Untuk 4 orang, termasuk bayaran bagasi dan makanan dalam pesawat, cuma RM366 sahaja (perjalanan dua hala). Lagipun Adik kata dia dah lama tak naik kapalterbang. Ingatkan dah malas nak pergi. Biarlah hangus je RM366 tu. Itu baru tambang. Kat sana kena sewa hotel lagi, makan minum lagi. Semuanya perlukan Tengkolok Tuanku.

Disebabkan tempoh tempahan yang dah terlalu lama, macam-macam hal boleh terjadi. Kebetulan pula suami ada mesyuarat di sana. Jadi, bila dah ada urusan resmi, suami dapat penginapan.InsyaAllah kami akan menginap di Hotel Dormani. Lagipun kami punya kawan-kawan di sana yang sedia menawarkan rumah mereka untuk ditumpang. Alhamdulillah. Tak rugi kita punya kawan-kawan di serata alam.

Sebenarnya, aku tak begitu suka menumpang di rumah orang. Bukan kerana sombong. Tapi, takut menganggu ketenteraman tuan rumah. Anak-anak aku bukannya jenis 'mematung' kalau kat rumah orang. Tambah-tambah si adik tu. Pantang nampak benda apa semua nak ditanya.

Tapi sebaliknya, aku cukup suka kalau orang datang 'menginap' di rumahku. Seronok. Terasa meriah. Aku jadi hilang letih untuk melayan tetamuku. Aku seronok kalau dapat memasak untuk tetamuku. Tambah seronok kalau tetamuku berselera menjamah masakanku.

Ish.. dah ke mana aku melalut ni???

Oklah... hujung minggu ni, pondok ini akan sunyi...
kakcik nak gi cari pusak...

Ahad, Oktober 25, 2009

Suami oh suami...

Tajuk muka depan Metro Ahad...

Jantan Dayus - semakin ramai suami hanya goyang kaki di rumah dan paksa isteri sara keluarga. Lebih memalukan, segelintir suami membiarkan saja isteri bergelumang maksiat kerana duit.

Muka depan Kosmo Ahad...

Suami Durjana - bunuh isteri dengan simbah asid, anak jadi buta.



Kawan-kawan....

ada komen????

Sabtu, Oktober 24, 2009

Penat dan Letih...

Baru dapat mengadap laptop ni. Semalam balik agak lambat. En. Suami ada mesyuarat lagi. Sibuk mengalahkan GM... padahal pemandu GM je! Malam tak masak, beli saja makanan untuk anak-anak. Jam 8 malam, keluar dengan suami ke Petaling Jaya. Suami ada pertemuan 're-union' dengan teman-teman lamanya. Yang bertemu itu semuanya lelaki. Padan muka aku, sibuk sangat nak ikut. Sudahnya tunggu saja dalam kereta sampai 4 jam. Siap tidur lagi. Kunci pintu, matikan enjin, buka tinggap sikit. Tapi bukan boleh lena sangat pun. Jam 1.30 pagi baru sampai balik kat rumah.

Pagi tadi tak masak pun. Semuanya bangun lambat. Aku seperti biasa, selepas solat subuh, susah nak tidur balik. Bila En. Suami bangun semula pukul 9 pagi, bersiap ke pasar Chow Kit. Balik ke rumah, mulakan projek masak. Masak mi kari. Kemudian masak nasi, masak lemak cili api ikan tenggiri dengan belimbing buluh, ayam masak sos tomato, sambal belacan dan ulam timun. Siap. Semua makan 'brunch' je..

Lepas solat Zuhur, hantar Angah balik ke kolej. Jam 4 petang sampai rumah. Jam 5.30, bergerak ke rumah adik di Selayang. Jalan sesak. 6.30 baru sampai. Duduk sekejap dah Maghrib. 8.30 balik ke rumah. Sampai jam 9.00. Layan pulak anak-anak nak makan. Ini kain baju ak berlipat dan tak bergosok tengah tunggu untuk dibereskan. Esok suami nak terbang ke Alor Setar kemudian bertolak ke Langkawi untuk mesyuarat. Nasib baik cuti aku dah tak mengizinkan untuk 'mengekor'. Harimau Maybank pun dah tak bergigi untuk menghulurkn duit melalui mulutnya. Jadi, faham-faham sendirilah...

Dah penat ni.. nak tidur dulu. Kain baju tu, esok sajalah diuruskan...

SELAMAT MALAM...

Jumaat, Oktober 23, 2009

Mengapa Isteri Enggan Berkongsi???


Macamana nak jawab persoalan Sdr. LanaBulu kepada kakcik ni ya?

Betul... memang tak dinafikan setiap sesuatu di dunia ini adalah milik Yang Maha Berkuasa. Malah diri kita ini pun bukan milik kita. Banyak yang nak kakcik katakan.. tapi, kakcik tahu, apapun jawapan kakcik akan kembali menimbulkan persoalan seterusnya...

Jadi, kawan-kawan... jom tolong jawab soalan Sdr LanaBulu ni :)

Khamis, Oktober 22, 2009

Mengapa orang tak suka menelefon Jabatan Kerajaan?

Selain telefon tidak diangkat dari pagi hingga ke petang dengan alasan banyak panggilan masuk, tak cukup kaki, tangan, mulut nak menjawab???

Lain-lain alasan bila dapat bercakap :

'maaf (kadangkala tanpa ucapan maaf pun) saya tak tahulah..."

'saya tak pastilah'

'dia tak ada'

'tak tahulah dia pergi mana'

dan lain-lain lagi jawapan yang boleh membuatkan asap keluar dari telinga...

itu belum lagi talian disambungkan dari seorang ke seorang yang lain.. yang akhirnya talian terputus begitu sahaja tanpa mendapat jawapan kepada soalan yang dikemukakan.

Tak boleh ke agaknya, bila dapat panggilan, kalau tak tahu jawapan tu.. katakan : 'maaf puan (tuan)... saya cuba dapatkan jawapan, nanti saya telefon balik' Minta nombor telefon pemanggil dan pastikan kita menelefon semula pemanggil itu. Jangan setakat berjanji kosong.

Ataupun : 'Encik X sedang mesyuarat sekarang, boleh saya dapatkan nombor untuk dia hubungi semula?'

Kalaulah orang yang hendak dihubungi tidak boleh menghubungi semula (sibuk sangat kot...), minta pemanggil telefon semula dengan cara berhemah. Bukan : 'dia tak ada, telefon esok..' dengan suara yang jin tanah pun boleh lemah lutut mendengarnya...

Ataupun, tak bolehkah lengkapkan diri dengan pengetahuan. Kita pasti tahu apa kehendak pemanggil andainya kita duduk di sesuatu jabatan yang punya pengkhususan tertentu. Soalan-soalan dari pemanggil terdahulu biasanya boleh dijadikan panduan tentang kemungkinan soalan berikut yang akan ditanyakan.

Aku baru saja menghubungi sebuah jabatan berkenaan Sijil yang tersilap cetak untuk seluruh negara. Pastinya ia bukan suatu isu kecil. Pastinya juga seluruh bahagian berkaitan di jabatan itu tahu apa yang telah berlaku. Pada anggapanku, kalau ditanya pada pembancuh teh seperti aku di jabatan itu, dia sepatutnya boleh memberikan jawapan. Malangnya, jawapan pertama yang aku terima : 'sijil asal tak boleh diubah, kena pergi buat surat sumpah'.

Angin pun mula nak naik ke kepala aku! Apa jadahnya 1MALAYSIA nak kena pergi buat surat sumpah kerana sijil itu pun telah di kembalikan ke jabatan berkenaan???

Kalau tak tahu, lain kali jangan buat-buat tahu! Nak tunjuk pandai konon. Bila suara aku dah mula tegang, baru nak sambungkan kepada pegawai berkenaan. Malangnya pula pegawai itu ke luar daerah dan pembantunya tidak boleh memberikan jawapan dengan alasan 'tak tahu'

Hehehe.. aku bagi ceramah percuma kat 'budak tu'.. 'lain kali jangan senang-senang kata tak tahu, cari maklumat! jangan malukan jabatan kerajaan'. Nasib baik dia jawab balik dengan lembut.. 'maaf Puan, terima kasih Puan'.. aku bukan nampak pun mimik muka dia dan dia pun tak nampak aku!

Rabu, Oktober 21, 2009

Jogathon

Minggu lepas adik bawa kad untuk kutipan Jogathon sekolahnya. Dari dulu aku tak berapa setuju dengan kutipan-kutipan ni. Seolah-olah mempergunakan budak-budak. Kenapa agaknya pihak sekolah tidak memikirkan cara lain untuk mengumpul dana? Memohon sumbangan dari pihak-pihak atau syarikat-syarikat korporat ke?? Atau memohon sumbangan secara langsung dari ibu bapa/penjaga murid?? Bukan 'memaksa secara halus' murid-murid 'mengemis'. Ibu bapa juga turut terlibat. Terpaksa membawa kad itu ke tempat kerja untuk mendapatkan sumbangan.

Pernah sewaktu aku nak masuk ke Tesco, di pintu masuk, aku dikejar oleh seorang budak lelaki dalam usia 10 @ 11 tahun.. 'makcik...makcik...minta derma jogathon...' Aku memberi kerana kesiankan budak tu sebenarnya.

Untuk kad adik tu, aku senaraikan saja nama ahli keluarga termasuk anak buah dan aku letak je duit. Itupun semata-mata supaya adik tak malu untuk memulangkan kad itu kepada guru kelasnya.... Jangan pula nanti, gurunya pulangkan semula kad itu untuk dipenuhkan.. Jawabnya, aku takkan segan untuk meletakkan nilai 20sen atau 50sen di setiap ruang yang berkenaan!

Sebab, aku bukanlah orang yang begitu mampu... kalau mampu, aku tak akan begitu berkira...

Selasa, Oktober 20, 2009

Demam la pulak!


Budak dua beradik ni dari semalam kurang sihat.. demam dan batuk-batuk. Harap-harap janganlah melarat. InsyaAllah, hujung minggu depan nak terbang ke Kuching.

Makan satay je


Petang semalam balik lambat. En. Suami ada mesyuarat (inilah susahnya jadi penumpang - kena ikut jadual orang yang ditumpang). Jam 6.30 baru dia sampai di pejabatku. Jalan punyalah sesak. Pusing ikut mana pun sesak juga. Sampai kat rumah dah 7.30. Maghrib masuk pukul 7.00. Kalau tak sesak, 10 - 15 minit dah boleh sampai.

Nasib baik Along dah kata nak belanja makan satay. Dia order sampai 150 cucuk. Satay tu secucuk 70 sen. Tapi, Along selalu dapat diskaun. Jadi dia hanya perlu bayar RM90 sahaja. Memang sedap dan mengenyangkan. Dan malam tadi, aku cuma bancuh teh o panas je. Adikku dan anak-anaknya pun datang. Kawan Along dua orang. Memang lebih dari cukup satay tu. Alhamdulillah. Terima kasih Along. (Angah je tak de... tak apalah lain kali boleh beli lagi, InsyaAllah).

Isnin, Oktober 19, 2009

Aku dah bosan


aku dah bosan.. jemu.. jelak
aku tak mahu jadi tukang bancuh air lagi..
tapi aku nak jadi apa???
takkan nak jadi tukang sapu kot..

eh! jangan pandang hina pada tukang sapu tau
kalau tak ada tukang sapu
sapa nak bersihkan segala sampah sarap???

setakat pakai cantik-cantik
sehelai tisu berhingus
pun tak pandai nak kemaskan
tetap juga sipengotor namanya

dah tu..
kenapa nak pandang kotor pada tukang sapu???
kalau tak ada dia
tisu tu duduk la kat kaki meja....

kalau hari-hari buang sehelai
lama-lama tutup meja!

Saja nak bercerita


Semalam aku pergi ke ATM sebuah bank. Masa tu tak ada orang pun. Entah kenapa, macam ada masaalah pulak. Tak tahulah, sama ada ATM tu 'sakit perut' atau kad aku yang 'meragam'. Sedang aku menunggu, datang dua orang - seorang perempuan dan seorang lelaki. ATM yang satu tu 'out of service', jadi mereka berbaris di belakang aku. Yang lelaki tu, macam bukan nak cepat, sibuk bercakap di telefon. Tak apalah. Tapi, yang perempuan tu (masih muda orangnya) tercegat di belakang aku.

Kerana aku tak suka menyusahkan orang, aku berpaling ke belakang sambil berkata kepada perempuan tu, 'ada masaalah'.. Dia buat muka selamba je, seolah-olah tak faham apa yang aku cakap. Oh! mungkin dia bukan orang Melayu, tak faham BM kot. (Wajahnya ada iras2 Arab atau Pakistan). Setelah aku gagal meneruskan transaksi dan kad aku keluar dari mesin tu, aku pun cakap kat perempuan tu, 'buatla dulu...'
Selamba juga dia ke depan. Aku tengok dia pilih Bahasa Melayu! Selesai urusannya, dengan angkuh dia berjalan keluar. Tak menoleh pun kepadaku, jauh sekali mengucapkan 'tengkiu' ke 'macih' ke. Tapi, apa perlunya dia mengucapkan itu kepadaku kan? Bukannya dia ambil duit aku pun.....

Setelah percubaan kali keduaku gagal (tak ada sen pun agaknya dalam akaunku itu, tu sebab urusniaga gagal.. wakakaka..), aku balik ke kereta. Kuceritakan peristiwa tadi kepada suami. Suamiku kata, dia nampak perempuan tu, mungkin dia ada masaalah kot! Manalah tahu, bergaduh dengan suami ke.. boyfriend ke.. Jadi itu yang terbawa-bawa perasaan...

Macam tu ka???

Ahad, Oktober 18, 2009

Sabtu, Oktober 17, 2009

Nak ke mana?

mana-manalah..

janji kepala tak pening
fikiran tak kusut
perut tak lapar
jalan tak sesak

yang penting...

aku bahagia

iyeke??

harap-harap macam tu la...

Jumaat, Oktober 16, 2009

Begitu takdirnya

sewaktu ini bapa masih boleh bangun

Musim menunaikan rukun Islam kelima datang lagi. Berpusu-pusu umat Islam dari seluruh dunia bakal menunaikan ibadah Haji buat kali pertama atau yang berulangkali. Sepatutnya bapaku juga menunaikan Haji pada tahun ini. Namun, siapa yang boleh menentang takdir yang telah ditentukan olehNya? Bapa tiba-tiba jatuh sakit dan kini hanya mampu terbaring. Boleh duduk sesekejap di kerusi jika dibantu.

Ya Allah, pulihkanlah kesihatan bapaku. Izinkanlah beliau untuk menjejakkan kaki ke Baitullah pada tahun hadapan..

Khamis, Oktober 15, 2009

Tak nak sedih la


Buat apa nak susah-susah hati kan?
Kita sedih bagai nak rak, orang yang buat kita sedih, riang gembira macam tak ada apa-apa je. Memanglah bagi dia tak ada apa-apa, sebab dia rasa dia tak salah. Kita pulak yang jadi bersalah...

So, kakcik... CHEER UP YOUR DAY!

Hancur hatiku


aku bukan manusia agung
yang perlu dijunjung mahupun disanjung

aku juga bukan manusia sempurna
yang harus dipuji atau dipuja

aku hanya manusia biasa
yang punya hati punya rasa

hancur hatiku
luluh jiwaku
bila apa saja yang kubuat
dianggap bagaikan membawa musibat

Rabu, Oktober 14, 2009

Pagi ini...

Bangun seawal 4.00 pagi. Hujan di luar mencurah-curah. Sejuk. Matikan suiz pendingin hawa. Pasang kipas dengan kelajuan 1. Pinggang ke kaki bukan main sakit. Berat sangat. Bangun tadi bertatih-tatih. Solat Isyak. Lipat kain baju yang dah dua hari tak berlipat.

Jam 5.00 kejutkan Along untuk ke Masjid. Turun masak air dan panaskan nasi. Goreng ayam. Cuba 'hidupkan' internet kat laptop Along. Gagal. Entah apa masalahnya. Kelmarin streamyx buat hal. Dah ok, tak boleh akses pulak. Hmmmm...

Jam 5.45 naik untuk mandi, solat subuh, gosok baju kerja. Bersiap. Jam 6.40 dah sampai pejabat. Belakang dan kaki masih sakit. KAKCIK!!!! TURUNKAN BERAT BADAN TUUUUUUUUU!!!!!!

Selasa, Oktober 13, 2009

Dia Yang Maha Tahu


Saat aku buntu
Dia Maha Tahu
bukan Dia tidak membantu
cuma aku yang tak tahu

bantuan di depan mata
cuma aku bagaikan buta
masih teraba-raba
tidak juga menambah usaha

.........

Isnin, Oktober 12, 2009

Jamuan lagi!

Hari ini, Bahagian tempat aku 'bancuh air' pulak adakan jamuan. Makan lagi.. Huh! berat badan pun dah berkilo-kilo naik! InsyaAllah esok kalau jadi nak ikut suami ke Pulau Pinang untuk jamuan hari raya cawangan Syarikatnya. Apa lagi kerja aku kalau bukan mengekor suami... seantero Syarikat tempat suamiku bekerja dah arif tentang itu... jangan marah, ek?




Zai.. ada contact number tak....

Ahad, Oktober 11, 2009

Selesai!

Alhamdulillah, akhirnya 'majlis makan-makan' kat rumah aku selesai juga pada jam 11.00 malam tadi. Memang penat tapi berbaloi-baloiiiiii.... Lepas ni Along tak boleh bising- bising lagi nak buat makan-makan kat rumah. Mak dah berkorban tenaga tau! Sampai bengkak kaki dek lama sangat berdiri!

Dari pagi, sorang-sorang duduk kat dapur. Menu biasa je.. mi kari, nasi ayam dan nasi impit bersama kuah kacang. Dah malam, tambah pulak nasi goreng dan mi goreng. Ramai juga yang datang. Syukurlah semuanya dah selesai...

Jumaat, Oktober 09, 2009

Nak masak apa ek?

Along nak jemput kawan-kawan dia datang ke rumah esok. Kawan-kawan mengajar. Kawan-kawan masjid. Jiran-jiran terdekat. Agak-agak berapa orang ek? Ada ke sampai 100 orang? Kawan-kawan Angah ada 4 - 5 orang. Nak masak banyak mana ek? Aku sorang-sorang kena masak ni!

Aku cuma pandai masak sejenis dua makanan je. Mudah2an segalanya berjalan lancar. Ada sapa-sapa yang membaca ni nak datang tak? Silalah... kita jamah apa yang ada. :)

Khamis, Oktober 08, 2009

Jamuan Hari Raya

Hari ini, 8/10/2009 bersamaan 19 Syawal 1430. Kementerian tempat aku 'cari makan' mengadakan Jamuan Hari Raya. Alhamdulillah.

Cumanya, bila sebut tentang jamuan ini - tak kiralah, di rumah, di pejabat, di restoran atau di mana saja. Satu perkara yang aku tak berkenan (harap-harapnya aku dapat menjaga tingkah lakuku sendiri) adalah berkenaan dengan sikap.

Dah namanya jamuan. Yang datang mesti ramai. Hidangan mesti banyak. Tapi, ada sesetengah orang, bila dah berada di depan hidangan, seolah-olah semua mahu diambil. Bimbang tak cukup, tak mahu orang lain mengambil sama. Siap menjeling. Ini bukan sengaja aku reka, tetapi selalu terjadi di depan mata. Nak kata budak-budak, dah lebih dari dewasa. Nak kata dewasa, perangai kalah budak-budak. Ada yang mengambil makanan seolah-seolah dah berbulan tak makan. Penyudahnya, makanan dalam pinggan tu, kais sana, kais sini, tinggal macam tu saja. Lepas tu bangun lagi, ambil yang lain pulak! Langsung tak teringat pada saudara-saudara kita yang di dalam kesusahan di luar sana. Iya, mungkin jauh - kita tak nampak. Bagaimana pula dengan kawan-kawan yang sama-sama datang, tetapi terkebil-kebil tak dapat mengambil makanan? Apakah kita bangga menunjukkan sikap 'tak bertamadun' begitu? Masa ambil kononnya sebab nampak sedap, atau nanti tak payah bangun lagi. Bila dah ambil, mencebik bibir - kononnya makanan rasa entah apa-apa. Padahal memang dah tak lalu nak makan.

Tempat duduk pun sama. Kalau dah selesai makan tu, pandai-pandailah bangun. Bagi peluang pada orang lain pulak untuk duduk. Ini tidak, siap bergosip lepas satu, satu. Pedulikan mata yang memandang. Lagi orang pandang, lagi terasa riak!

Aku berpesan pada diriku sendiri, dan juga pada anak-anak serta keluargaku... cerminlah diri, hiasi peribadi dengan pekerti yang tidak membuatkan orang menjadi benci.

Rabu, Oktober 07, 2009

Pulanglah...


Saat kau membawa diri
tiada siapa menyuruh pergi

andai kini kau ingin kembali
apa yang perlu kau fikir lagi

pulanglah!

Selasa, Oktober 06, 2009

Anak oh Anak...

"Bapa dilokap angkara anak"

itulah salah satu tajuk dalam Harian Metro hari ini. Kerana hendak bebas berpoya-poya bersama teman lelaki, seorang anak sanggup membuat laporan polis kononnya dia dirogol oleh bapanya. Bapa 'malang' tersebut terpaksa bermalam di lokap untuk siasatan akibat laporan tersebut.


Inilah anak-anak zaman sekarang. Sanggup berbuat apa saja demi mengikut nafsu sendiri. Menjatuhkan maruah ibubapa dan menggadaikan maruah sendiri. Alangkah hancur luluhnya hati ibubapa mengenangkan anak yang selama ini ditatang bagaikan minyak yang penuh menjadi duri di dalam daging. Mencucuk bisa ke tangkai hati.

Salahkah ibubapa? Anak-anak adalah permata hati. Dibimbing, diasuh, diberi pelajaran dunia dan akhirat. Ibu mengandung dengan segala susah payah (anak boleh berkata : saya tak minta dilahirkan....) Menyusukan anak, menyuapkan makanan ke mulut, berjaga malam saat anak kegelisahan kembung perut atau merengek kerana lapar. Ayah juga sentiasa berusaha dan berfikir apa lagi yang boleh diperbuat demi kesenangan dan keselesaan anak-anak.

Sampai saatnya sianak menginjak remaja. Bersekolah. Bertemu rakan taulan. Sedikit demi sedikit anak-anak merasakan ibubapa hanya mengongkong pergerakan mereka. Anak-anak menjadi lupa, makan minum mereka - malah segala-galanya, masih disediakan oleh ibubapa sepenuhnya. Bila ibubapa berkata, 'anakku, kami menghantar kalian ke sekolah demi mencari ilmu. Belum masanya untuk kalian bercinta'. Sianak dengan angkuh boleh memalingkan muka sambil bersungut, 'ibuayah apa tahu? ketinggalan zaman betul... orang lain bercinta ok je...'

Aduhai anak, kalian lahir pun dari cinta ibuayah kalian. Kami menghalang kerana belum masanya untuk kalian 'hanyut' dalam dunia khayalan ciptaan kalian. Kami terlebih dahulu melalui ranjau duri kehidupan. Pengalaman kami ini kami jadikan panduan dalam mendidik kalian. Kami mahukan segala yang terbaik buat anak-anak kami. Kerana itulah kami hantar kalian untuk menimba ilmu. Mudah-mudahan kalian dapat membezakan mana yang baik mana yang buruk. Mungkin 'ilmu' yang kalian dapat dari ibuayah kalian 'yang ketinggalan zaman' ini tidak cukup untuk membimbing kalian.

Anak-anak, harapan masa depan keluarga, bangsa dan negara. Janganlah leka dengan dunia angan-angan dan keseronokan sementara yang belum tentu menjanjikan apa-apa. Jangan nanti bila apa yang diangankan tidak kesampaian, kami (ibuayah) juga yang dipersalahkan, konon tidak memberi panduan dan bimbingan.

Isnin, Oktober 05, 2009

Catatan Jumaat hingga Ahad

Jumaat - 2/10/2009

Pagi ini rasa tak larat nak ke pejabat. Buat keputusan untuk berjumpa Doktor.
Jam 9.00 pagi pergi ke Pantai Hospital, Ampang. Doktor yang nak ditemui hanya ada di kliniknya jam 2.00 petang. Balik ke rumah. Lepas Along balik dari Solat Jumaat, lebih kurang jam 2.30, pergi semula ke Hospital. Cek itu ini, ambil beberapa jenis ubat dan sedut nebulizer. Dapat MC - balik ke rumah - tidur!

Malam - ke Chow Kit. Beli bahan-bahan perencah (serai/daun kunyit/bawang/cili kering dll) untuk buat rendang ayam yang diminta oleh teman merangkap adik kesayangan untuk rumah terbukanya Ahad nanti.


Sabtu - 3/10/2009

Jam 7.15 pagi ke Chow Kit lagi bersama suami. Beli 7 ekor ayam dan 5 kilo santan.
Balik, singgah minum kat kedai berdua-duaan. Sampai rumah 'mengerjakan ayam'.

Tengah sibuk kat singki dengan ayam mati tu, suami dapat panggilan dari boss lamaku yang kini menjadi Pegarah di sebuah Jabatan Kerajaan di Kuantan dan bergelar Dato' nak singgah ke rumah dalam setengah jam lagi. Terlompat aku! Bukan kerana apa, tapi apa pulak yang nak kuhidangkan? Tapi, tak kisah la.. aku dan suami dengan bekas boss ku tu dah kenal lama dan hubungan kami agak rapat. Dia biasa melepak di rumah sempitku itu.

Elok saja aku berkemas dan mandi, duduk lepak sekejap, bekas bossku bersama isteri dan dua anaknya sampai. Sembang-sembang kejap. Dia dalam perjalan ke Petaling Jaya untuk menjemput anak kembarnya yang baru habis peperiksaan. Kemudian kami ke dapur untuk menjamah hidangan seadanya.

Bila bossku dan keluarganya keluar dari rumahku, kami sekeluarga bergegas pula bersiap untuk memenuhi jemputan rumah terbuka di Kajang. Dari Kajang, ke rumah terbuka merangkap majlis sambutan hari lahir di Bandar Tun Razak. Balik ke rumah dah petang tapi belum masuk waktu Asar. Masih sempat untuk Zuhur.

Petang, aku mengupas bawang, membuang biji cili kering, memotong halia dan menghiris serai serta daun kunyit. Kemudian aku berehat sambil menantikan kedatangan adikku Nora dan keluarganya yang berjanji akan sampai petang ini. Sampai aku dah terlelap, mereka belum sampai! Hanya jam 7.00 petang baru mereka muncul. Raya lah katakan...

Kesian Nora dan Aqib, banyak sangat 'berjalan dalam kereta' agaknya, mereka keletihan dan kurang sihat. Tak apalah, berehat dulu ya.. walaupun masih sempat untuk bergosip lebihkurang!

Setelah mereka semua naik ke bilik tidur, aku mengambil keputusan untuk mengisar bahan-bahan untuk merendang ayam esok pagi.

Ahad - 4/10/2009

Aku bangun seawal 4.30 pagi untuk mula masak rendang ayam. Bukan tiada kuali besar di rumahku yang boleh memuatkan 7 ekor ayam itu. Masalahnya, dapurku pula terlalu kecil untuk menampung kuali tersebut. Berlanggar ke dinding la jawabnya. Akhirnya, aku terpaksa menggunakan tiga kuali untuk memasak!

Adikku Ummie yang hendak membuat jamuan itu juga ada menempah 600 cucuk sate. Along ditugaskan untuk mengambil sate itu kerana dia saja yang tahu tempatnya. Kerana komunikasi yang tidak lancar tempahan itu hanya siap jam 11.45 pagi. Sepatutnya jam 11.00 dah siap. Berkali-kali, tauke sate itu memohon maaf dari 'Tuan Imam Mustaqim' @ Along atas kelewatan itu.

Setelah semuanya siap, kami (aku dan keluarga serta Nora sekeluarga) begerak ke rumah Ummie di Taman Puncak Jalil. Jam 1.30, kami keluar dari rumah Ummie. Aku sekeluarga balik ke rumah dan Nora sekeluarga terus pulang ke Kuantan. Elok saja sampai di rumah, suamiku menerima panggilan dari temannya, mengingatkan agar segera datang ke Majlis Perkahwinan anaknya. Kerana MRR2 sentiasa sesak, aku dan suami menunggang motorsikal saja ke majlis tersebut. Anak-anak tinggal kat rumah.

Dari majlis perkawinan, balik ke rumah, singgah pula di rumah jiran (tak pergi memang tak patut - hanya berselang pintu) untuk rumah terbukanya pula. Minum saja lah dan jamah sedikit mi udangnya. Nasib baik kat majlis kahwin tadi, aku tak menjamah apa-apa. Namanya saja hidup berjiran, setahun sekali nak jejak ke rumah jiran pun payah!

Jam 5.15 petang, keluar pulak untuk menghantar angah balik ke kolejnya. 7.55 sampai baik ke rumah, selepas menunaikan solat maghrib, ke rumah jiran yang langsung tak berselang pintu pulak! Memang sangat-sangat tak patut la pun kalau tak pergi, kan? Keluar dari rumah itu, naik kereta pulak ke rumah kenalan suami. Sudahnya sampai balik ke rumah dah dekat pukul 11.00 malam.

Letih memang letih... tapi, pakaian yang belum bergosok perlu di bereskan. Siap semuanya, aku pun tak sedar jam berapa aku terlelap sebelum bangun semula 4.45 pagi tadi...


p/s : untuk Nora sekeluarga, kakcik mohon maaf banyak-banyak atas segala kekurangan yang memang sangat-sangat terasa sewaktu Nora berkunjung ke rumah kakcik kali ini.... Kakcik tahu Nora amat memahaminya.. (sobss... sobss...)

Khamis, Oktober 01, 2009

Mi kari


Semalam sepuluh orang kawan angah datang ke rumah. Yang paling ringkas dapat ku sediakan cuma mi kari. Itu pun, balik dari pejabat, singgah kat pasar Chow Kit untuk beli bahan. Balik ke rumah terus masak. Elok maghrib, budak-budak tu sampai. Lepas solat dia orang makan sampai licin. Nasib baik angah tolong berkemas.

Angah kata, hari Sabtu ni dia orang boleh datang lagi tak? Nak rasa nasi ayam mak pulak! Aduhai... Aku ni kalau terlalu letih pun, boleh jadi susah tidur. Malam tadi pukul 12 belum tidur lagi. Siap gosok pakaian, lipat dan susun kain baju lagi.

Sempat juga 'tertonton' cerita Akhirat kat TV3.. tak faham aku. Menyampah pun ada, macam tak kena gaya je 'Dr. Maznah Zulkifli' bercakap. Sudahnya, temankan adik ngan bangcik tonton cerita Congkak kat Astro Ria. Budak-budak ni pun, dah tahu takut tak payah la tengok.. paksa pulak mak temankan. Kebetulan semalam aku bawa papan congkak yang dah lama aku pinjamkan untuk aktiviti pejabat. Aku cakap ngan adik.. tak payah main, kang antu datang.. Tak pulak dia takut..