Klik klik

Ahad, Ogos 30, 2009

Tak ada mood nak masak

Untuk berbuka ari ni, aku cuma masak ayam goreng celup tepung, sayur kubis masak air, sambal belacan dan ikan terubuk masin goreng letak bawang dan cili kering. Panaskan rendang ayam semalm.. cukup! Air pulak, bangcik pesan suruh bancuh kopi dan simpan dalam freezer, dia nak minum sejuk2. Teh O mesti ada punya.

Sabtu, Ogos 29, 2009

Hidangan Berbuka

Hari ini lauk berbuka yang kuhidangkan hasil air tanganku sendiri. Ikan bawal goreng bersambal, kari daging cincang, rendang ayam, pecal dan ulam serta sam bal belacan. Sedap ke??? Hantam sajalah labuuuuu.. Air pula, seperti biasa.. teh o. Masak macam2 pun, Along ngan Angah tak ada untuk makan bersama. Along berbuka di masjid tempat dia bertugas, dan Angah tak balik minggu ini... Makan apa la agaknya Angah ye???

Khamis, Ogos 27, 2009

Sahur Semalam

Bukan rasa lagi.. memang aku menangis waktu bangun sahur semalam! Bukan kerana sedih atau letih.. Tapi, sakit di bahagian pinggul hingga ke kakiku memang menjadi2! Mahu tak mahu aku kena siapkan juga hidangan sahur untuk suami dan anak2.

Hari ini, suamiku mengambil cuti kecemasan kerana membawaku ke Hospital untuk bertemu Doktor Pakar Tulang. Doktor itupun naik 'bingung' dengan sakit yang kutanggung. Setelah diperiksa, doktor membuat kesimpulan, otot2 bahagian pinggulku ada yang terkoyak! Aku diberi satu suntikan dan diminta membuat rawatan fisioterapi. Doktor juga memberi 2 hari cuti sakit. Aku dinasihatkan agar tidak banyak berdiri atau duduk terlalu lama. Dah kerjaku memang duduk saja.. nak buat macamana??? (Bancuh air sambil duduk!)

Dalam sakit-sakit pun, sempat juga aku, suami, along dan adik bekejar ke Hospital Melaka untuk menziarahi sahabat kami yang telah dua bulan terlantar akibat 'tersilap bedah'!(dia dibedah di sebuah hospital swasta). Suamiku membawa 2 kotak (setiap satu berisi 24 cawan bubur segera dan 5 kotak X 20 paket cereal) untuk sahabat tersebut. Tak sampai satu jam pun kami di sana, kami bergerak balik ke KL...

Hehehe.. hari ini menu Pasar Ramadhan dan telah dijanjikan Allah rezeki kami murah hari ini.. Ada pula jiran menghantar nasi beriyani beserta lauk ayam sebanyak 5 set...

Rabu, Ogos 26, 2009

Hari Kelima Ramadhan

Petang tadi hujan turun dengan lebat. Tak dapatlah suamiku shopping di Pasar Ramadhan. Sehingga hari ini, aku belum lagi pergi ke pasar tersebut. Disebabkan tiada menu tambahan dari gerai2, lauk yang aku masak memang laku. Aku hanya masak ikan bawal goreng bersambal, sup kubis dan telur goreng... Alhamdulillah - tiada komen dari suami dan anak2. Cukuplah tu - ada nasi dan teh O panas. Kugoreng juga karipap segera yang dibeli dari lelaki yang datang menjual di muka pintu sewaktu aku sedang memasak di dapur. Kurma pula ada beberapa kotak pemberian dari orang2 yang bermurah hati.

Ada orang jangankan nak makan dengan lauk seadanya begitu - nak jumpa nasi seminggu sekali pun payah. Jadi, seharusnyalah kita bersyukur dan insaf kerana masih ada rezeki untuk dijamah.

Sahur nanti nak masak apa pula ya?

Doa Hari Kelima Ramadhan

"Ya Allah, tempatkan aku di kalangan orang yang sentiasa memohon keampunan. Jadikanlah aku hamba Mu yang soleh serta jadikanlah aku di kalangan auliya (orang yang mendapat keutamaan Mu) yang hampir di sisiMu dengan kelembutanMu, wahai Tuhan yang Maha pengasih daripada segala pengasih"

Selasa, Ogos 25, 2009

Jangan Main Mercun


MUHAMMAD Nur Sufian, 6, kehilangan tiga jari kiri akibat terkena mercun berhampiran rumahnya di Kampung Simpang Tok Ku Chabang Tiga, Kuala Terengganu, hari ini. - Foto Aswadi Alias

Kek Keju Durian



Sempena hari ulang tahun kelahiran semalam, mama Danial menghadiahkanku sebiji kek secret resipi seperti di atas tu... Yummy.....

Isnin, Ogos 24, 2009

Hari Ulang Tahun Kelahiran Ke 48


Alhamdulillah - aku masih diberi kesempatan untuk menghirup udara di dunia ini. Masih berkesempatan untuk memperbaiki segala kelemahan diri dan keburukan sikap. Semoga aku sentiasa mendapat hidayah dari Yang Maha Esa.

Ahad, Ogos 23, 2009

Catatan Ramadhan

Alhamdulillah..telah dua hari Ramadhan dilalui... mudah2an ibadah yang dilakukan ada nilainya di sisi Maha Pencipta.

Seperti biasa, datangnya Ramadhan bermakna rumahku bertambah meriah dengan kehadiran anak2 angkat - kawan2 Along yang bertugas sebagai imam solat tarawikh. Hari pertama Ramadhan juga Angah membawa balik dua orang kawannya (seorang lelaki - asal Kelantan dan seorang perempuan - asal Johor). Sehari sebelum Ramadhan, bapa telah dihantar ke rumah adik perempuanku. Aku tahu, bapa tak akan selesa andai berada di rumahku dengan ramai anak2 muda yang mundar mandir dalam rumahku.

Disebabkan hanya aku satu2nya perempuan di rumahku, kawan perempuan Angah kenalah tidur denganku (aku tanya Angah, apakah itu teman wanitanya? dan Angah mengakuinya!).
Terus terang, aku tak suka Angah 'berteman wanita' ketika ini. Masa sekarang adalah masa untuk dia menumpukan perhatian pada pelajaran. Masih terlalu awal untuk bermain perasaan....

Kawan2 Along memang menyenangkan hatiku. Waktu siang selepas Zuhur, mereka ( 3 hingga 4 orang termasuk Along) akan bertadarus. Tidaklah mengisi masa dengan tidur je... Bila Isyak, Along dan kawan2nya akan menuju ke masjid atau surau tempat mereka bertugas. Alhamdulillah.

Hari ini, hari kedua Ramadhan... Petang tadi, mama dan papa Danial datang berkunjung. Ada cerita yang dikisahkan.. tapi, biarlah ianya untuk pengetahuan aku dan suami. Apa2pun, Danial itu ibarat kain putih yang menanti untuk dicorakkan....

Jumaat, Ogos 21, 2009

Ramai sangatkah OKU di Permatang Pasir????

Tak pernah nampak sebelum ini, tapi baru nampak hari ini di Berita Harian Online, SPR bawa berpuluh2 kerusi roda ke Permatang Pasir....

Ahlan Wa Sahlan Ramadhan Al Mubarak

Kepada seluruh umat Islam, diucapkan selamat berpuasa. Semoga ibadah puasa kita 'benar-benar bernilai' di sisi Yang Maha Kuasa.

Khamis, Ogos 20, 2009

Tak suka tak suka tak suka

aku tak suka didesak
aku tak suka orang yang pentingkan perasaan sendiri
aku tak suka orang yang tak tahu sabar
aku tak suka orang menipu
tak suka tak suka tak suka

tapi...

aku ini baik sangatkah?????

Rabu, Ogos 19, 2009

Rasa hatiku

ada pedih ada ngilu
kadangkala ada rasa ceria

walau apa pun yang kurasa
tiada siapa yang dapat meneka
kecuali Dia

ada kalanya aku senyum ceria
sedang hatiku terguris luka
ada tikanya aku terkedu
kiranya hatiku mengimbau jauh

teman
kunantikan kehadiran kalian
agar duniaku yang sepi ini
ada juga warna warninya
biarpun hadirnya kalian
hanya di maya
aku tetap menghargainya

sukar rasanya hidup sendiri
lebih sukar tiada yang ingin mengerti
namun dengan kehadiran titipan jari kalian
aku tahu ada yang peduli

teman
andai aku bercerita
bukanlah untuk meraih simpati
tapi lebih kepada terapi
agar hatiku tidak membeku
agar mindaku tidak kematu...

teman
sekali lagi...
hanya ucapan terimakasih dapat kuhulurkan
kerana kalian cuba mengerti
dan sudi menyatakan simpati...

p/s :kudedikasikan puisi ini khas buat adikku Maiyah...

Selasa, Ogos 18, 2009

Tak ada ilham!

Pagi ni nak buat 'blog walking' je puas-puas, tak ada ilham nak dicurahkan. Bukan tak ada peristiwa yang terjadi..tapi, tunggulah sehingga jari2 dan otak ini berkompromi untuk menitipkan ayat2 yang 'berisi'....

Isnin, Ogos 17, 2009

Inilah bapaku



masa ni bapa belum terlantar lagi....

Bercuti

Hari ini aku mula bercuti lagi untuk menjaga bapa. Pada masa ini bapa sedang tidur setelah aku 'memandikannya' dan memberi beliau sarapan sebentar tadi. Macam jaga 'baby'. Waktu tidurnya, adalah waktu untuk aku membuat apa2 aktiviti yang aku suka. Sekejap lagi nak ke dapur, masak....

Urusan di pejabat? Biarlah.. ramai yang pandai kalau setakat nak bancuh air... Ketiadaanku takkan memberi apa2 impak maksima.. hehehehe... Yang penting aku kena gembirakan hati bapa w/pun biasalah! mana ada orang yang nak puas hati 100% dengan apa yang kita buat... Redho ajela..

Sabtu, Ogos 15, 2009

Nak balik kampung..

Pagi ni bercadang nak bawa bapa balik kampung. Saja nak jengah rumah yang dah berbulan2 ditinggalkan.. mungkin petang ini juga atau esok pagi balik semula ke KL. Masalahnya, adik lelakiku yang berjanji nak balik sama, tak sampai lagi. Semalam katanya, subuh nak sampai ke rumahku... janji melayu betul la.....

Aku ni belum pukul 5 dah bangun. Dah siap masak nasi, dah siap buat rendang ayam. Bapa pun dah kumandikan dengan bantuan suami, dh suapkan sarapan.

Dah jam 8 lebih ni.. bau asap kereta adikku pun tak sampai lagi! Bukannya jauh sangat Shah Alam tu....

Jumaat, Ogos 14, 2009

Dulu dan sekarang...

InsyaAllah, aku akan berusia 48 tahun pada 24/8/2009 (Isnin) nanti. Namun adakah siapa2 yang dapat mempastikan aku masih bernyawa saat itu selain Dia Yang Maha Mengetahui???

Dalam kalut dan kabut dengan rutin harian, rasanya terlalu banyak yang aku terlepas.. terutama dalam mempersiapkan diri 'kembali ke sana'. Bukan tak ingat, bukan tak risau.. tapi, ada-ada saja alasan yang membuatkan aku menjadi leka!

Dulu.. aku masih muda remaja.. hanya fikirkan keseronokan...


Sekarang.. di kala usia sudah senja, masih juga ingin berseronok dan dilalaikan dengan hal-hal yang tak pernah sudah dan adakalanya langsung tak memberi faedah!

Khamis, Ogos 13, 2009

Innalillahiwainnaillahirojiun...



KUALA LUMPUR: Ketua kumpulan nasyid Rabbani, Asri Ibrahim, 40, meninggal dunia di Hospital Pantai, di sini, kira-kira jam 11 pagi tadi kerana sakit jantung.

Allahyarham yang juga penyanyi utama kumpulan itu dilaporkan pengsan ketika mengendalikan program Syahadah musim kelima di Angkasapuri, sebelum dikejarkan ke hospital berkenaan.

PERGI TAK KEMBALI

Setiap insan pastikan merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang akan dibawa

Terdengar sayup surah dibaca
Sayu alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijap di depan mata

Selamat tinggal pada semua
Berpisah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baikkah atau sebaliknya

Amalan dan taqwa jadi bekalan
Sejahtera, bahagia pulang…kesana


Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim

Terbaring sempit seluas pusara
Soal bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiringi doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

2007 - Raya terakhir bersama mak...




Mak kembali kepada Maha Pencipta pada 16/12/2007 - dua bulan selepas Idul Fitri.. Al Fatihah....

Kain selimutku


Tak tahulah sama ada kain itu makin mengecut atau aku yang makin mengembang!
Waktu tidur semalam aku terperasan - kain selimut yang selama ini aku gunakan, seolah-olah tidak lagi muat untuk membaluti tubuhku. Tarik ke kiri, kanan terbuka. Tarik ke kanan, kiri terbuka... hmmmmmmmmm....

Aku mula terfikir dan berdoa..

"Ya Allah, bila aku mati nanti, janganlah Kau aibkan jenazahku dengan memendekkan kain kapanku"

Rabu, Ogos 12, 2009

Aku akan bercuti


InsyaAllah, minggu depan aku akan bercuti seminggu untuk menjaga bapa. Masa aku belum boleh berdikari, bapa buat segalanya untukku. Sehingga aku dah berumahtangga dan beranak pinak pun bapa tetap mengambil berat tentangku. Sekarang bapa terlantar sakit, aku tak mampu memberi perhatian sewajarnya buat bapa. Semoga cutiku nanti bermanafaat untukku berada di sisi bapa....

Selasa, Ogos 11, 2009

Sisi diri kita yang lain...


Kita bersikap pengasih, penyayang, mengambilberat dan segala yang baik terhadap keluarga kita. Kita tak suka bila ada orang lain 'memandai-mandai' menegur tingkah laku anak-anak kita. Kononnya kita dah berikan segala yang terbaik untuk anak-anak. Dah cukup kita mengajar anak-anak kita. Orang lain tak perlu sibuk!

Satu ketika, kita tiba-tiba menghairankan keluarga kita. Kita tak lagi peduli pada anak-anak yang selama ini amat kita kasihi, sayangi. Kita menjadi baran tiba-tiba. Anak-anak tidak lagi menjadi penawar kepada segala resah. Sewaktu tiba di muka pintu sebaik pulang dari tempat kerja, anak-anak yang melompat-lompat menyambut kepulangan dirasakan sebagai penambah beban. Kita biarkan anak-anak terpinga-pinga kerana tidak lagi dipedulikan. Kita tinggikan suara terhadap anak-anak yang tak mengerti apa-apa dengan alasan kita 'penat'.

Rupa-rupanya, di sebalik perubahan sikap itu... Kita telah mula mencurahkan segala 'kebaikan' kita kepada orang lain. Kononnya 'orang lain' itu lebih memerlukan perhatian kita. Lebih perlukan simpati kita. Lebih memerlukan segala 'kebaikan' kita. Maka kita pun dengan segala senang hatinya mengalihkan perhatian kita.

Malangnya, kita tak pandai bersikap adil. Tidak salah untuk bersimpati kepada orang lain. Tapi, bukanlah dengan menggadaikan seluruh perhatian dari keluarga sendiri kepada orang lain itu. Mengapa pula harus berputar sehingga 360 darjah??? Lebih malang, bila peralihan itu melibatkan 'perasaan'. Maka terbiarlah keluarga yang selama ini menjadi nadi kehidupan kita. Tanpa segan pula, kita mencipta alasan-alasan yang semuanya demi 'menghalalkan' tindak tanduk kita.

Janganlah satu hari nanti, bila orang lain yang kita curahkan perhatian itu, mencari perhatian yang lain... barulah kita terhegeh-hegah mencari silap sendiri....

Ahad, Ogos 09, 2009

Kalaulah......

Kalaulah aku punya wang yang cukup, aku akan gunakan untuk membayar semula kepada majikanku sekurang2nya sebulan gaji. Dan, aku akan bercuti sekurang2nya selama sebulan tanpa gaji demi untuk menjaga bapaku. Setidak2nya untuk bulan puasa dan hari raya yang akan menjelang, bapaku akan terurus tanpa mengharapkan pertolongan seseorang yang bernama 'pembantu rumah'.

Sejak yanti habis kontrak, memang adikku menghadapi masalah. Pembantu barunya memang tak boleh diharap... x payah cerita banyak, memang 1% drpd sikap yanti pun tak ada! hari ini, adikku telahpun memberhentikan pembantunya itu..... Kalau tak kerana untuk menjaga bapa, mungkin keperluan untuk menggunakan pembantu rumah tidak begitu mendesak buat adikku. Anak bongsunya dah pun 4 tahun, boleh saja dihantar ke nursery...

Kalaulah aku.....

Selamat Hari Lahir Adik - 9/8/2009



Selamat Hari Ulangtahun Kelahiran Adik yang ke 8. Semoga Adik akan terus membesar sebagai anak yang Soleh, Bijak, Mendengar Nasihat, Disayangi semua dan beroleh kejayaan dunia dan akirat. Mak tetap mendoakan segala yang terbaik buat adik.

Sabtu, Ogos 08, 2009

Bapa semakin kurus

Pagi tadi aku menziarahi bapa. Hampir sejam aku mengurut bapa...
Rasanya macam mengurut tulang saja. Dapat kurasakan tulang besar dan tulang kecil yang hanya dibaluti oleh kulit yang nipis dan kering! Sedihnya.....

Jumaat, Ogos 07, 2009

Memang sah aku rabun!

Tadi aku pergi ke bank untuk memasukkan sejumlah wang. Kerana tahu aku memang rabun, aku telah menulis siap2 nombor akaun di sekeping kertas dengan angka yang agak besar (supaya senang nampak). Sampai di bank, aku pun mengambil sekeping borang untuk di isi. Alamak! mana ruang nak tulis nama/no. akaun/jumlah ni??? Memang aku tak nampak mana ruangannya... huhuhuhu...

Mahu tak mahu, dengan malu-malu kucing (ya ke kucing tahu malu?) aku menyapa seorang lelaki India di sebelahku. "Encik, mana ruangan nak tulis nama?" Nasib baik la lelaki tu baik hati menunjukkan ruangan2 yang perlu kuisi. Dah tahu ruangannya, aku belasah je tulis... masuk petak ke tidak, lain kira.

Jangan2 orang tu fikir aku ni tak tahu baca tak? Ataupun, sekurang2nya dia fikir aku ni senasib dengan orang2 buta/rabun yang ramai terdapat di kawasan itu. (Aku buat urusan tu disebuah bank di Brickfields). Itulah padahnya bila malas sangat nak bawa cermin mata, dah tahu rabun masih nak berlagak! Bukan apa, cermin mata aku ni untuk membaca/menulis saja. Jadi sekejap kena buka, sekejap kena pakai.. itu yang aku malas tu......

Maklumat terkini Tentang H1N1

Sesiapa yang singgah di sini, sudikanlah melayari blog Dr Azwan untuk mendapatkan maklumat tersebut di : http://drazwan.blogspot.com/

Danial

Sebenarnya aku pun serba salah nak bercerita tentang Danial ni. Siapa sebenarnya Danial? Aku pun tak pasti... Yang aku tahu, Danial adalah seorang budak lelaki berusia 11 tahun. Anak murid Along.

Danial mulanya dibawa balik ke rumahku oleh Along beberapa bulan yang lepas. Biasanya dia akan tinggal di rumahku untuk beberapa hari. Pergi dan balik ke sekolah bersama Along yang dipanggilnya Ustaz. Tidur pun dengan Along. Alasannya, mama Danial 'out station'. Hmmmmmm, tak apalah. Aku pun dah biasa dengan anak-anak angkat sejak Along berusia 13 tahun lagi. Semasa Along bersekolah di sekolah tahfiz, bila bulan Ramadhan, kawan-kawan Along selalu menumpang tidur di rumah - adakalanya sehingga 3 minggu (aku pun tak dapat mengingat berapa ramai 'anak angkat' yang aku ada - hampir semuanya kawan2 Along). Kawan2 Along ini, biasanya menjadi imam tarawikh di surau2 yang berdekatan dengan rumahku. Lagipun, anak2ku semuanya lelaki. Sampai Along dah bekerja pun, ada saja kawan2nya yang datang tidur semalam dua di rumahku. Selagi aku tahu siapa dan bagaimana peribadi kawan2 Along, aku tak kisah.

Berbalik kepada kisah Danial - saat ini, sudah lebihkurang 3 minggu Danial tinggal di rumahku. Sekarang ini, disebabkan Angah disahkan positif Influenza, Along dan Danial mendapat pelepasan untuk tidak ke sekolah selama seminggu. Bangcik dan Adik pun nampaknya serasi dengan Danial. Mereka bergurau dan bergaduh (biasalah budak2 - tambah2 lelaki) seperti adik-beradik. Akupun membahasakan diriku sebagai 'mak' kepada Danial. Suamiku pada mulanya membahasakan diri sebagai 'uncle'. Tapi, aku kata, biarlah Danial memanggilnya sebagai 'ayah' memandangkan Danial sendiri lebih selesa menggunakan perkataan 'ayah' setiap kali bercakap dengan anak2ku bila merujuk kepada suamiku. Suamiku bersetuju.

Yang menjadi misteri kepadaku - siapakah ibubapa Danial? Mengapa tak pernah sekalipun mereka menghubungiku mahupun suami untuk berbicara mengenali Danial? Hanya Along yang mengenali ibu Danial. Dan ibu Danial hanya menghubungi Along sesekali jika ada apa2 yang ingin dibicarakan tentang Danial. Dari apa yang diberitahu oleh Danial, ibunya seorang pensyarah dan bapanya seorang jurutera! Dari apa yang diketahui oleh Along pula, Danial hanyalah 'anak angkat' pada pasangan berkenaan. Walau apapun status Danial, adalah menjadi tanggungjawab 'ibubapa'nya untuk menjaga kebajikan Danial. Tidakkah mereka ada sedikit perasaan risau tentang wabak yang menular sekarang akan menjangkiti Danial??? Baru2 ini Danial demam, Along yang membawa Danial ke klinik dan membayar kos ubatnya.

Bagiku dan suami, kami tak kisah kalau 'ibubapa' Danial tak lagi mahukannya. Biarlah kami saja yang menjaganya. Tapi, datanglah bersemuka dengan kami. Kita bincangkan elok2. Serahkan Sijil Kelahiran Danial kepada kami. Kalau perlu, kita buat perjanjian berlandaskan undang2. Aku tak mahulah pula nanti menjadi seperti kes remaja yang lari ke rumah Norish Karman yang mana akhirnya ibu remaja tersebut membuat laporan polis, konon anaknya diculik!

Aku bukanlah dalam golongan 'wan-wan' - jutawan/bangsawan - jauh sekali angkasawan - nama kami pun tak ada Wan.... tapi, aku percaya, kalau kita ikhlas, Allah akan permudahkan urusan kita. InsyaAllah, kehadiran Danial tidak akan menyempitkan pintu rezeki kami. Apa yang ada untuk anak2ku, adalah juga untuk Danial. Nak kata Danial tak nakal, manalah ada budak yang tak nakal... sudahlah masih budak, lelaki pulak! Aku pun faham sangat dengan kerenah budak lelaki - kerana 4 anakku lelaki semuanya. Yang kadangkala kerenah mereka bukan saja boleh menaikkan darah - malah, kadangkala rasa nak terpancut darah keluar dari tempurung kepalaku!

Bagusnya Danial, dia pandai mengaji - dan juga pandai menyanyi! Dan Danial juga seolah2 ingin aku memanjakannya sebagaimana aku memanjakan anak2ku. Kerana itu, setiap kali bila aku bersalam dengan Bangcik dan Adik serta mencium ubun2 mereka, aku berbuat yang sama terhadap Danial. Dan aku sudah mula cuba untuk 'menegur' Danial sebagaimana aku menegur apa2 perbuatan yang aku tak suka anak2ku lakukan. Sebelum ini, kerana memikirkan Danial itu 'anak orang', aku tak berani nak menegur apa-apa yang aku tak suka. Tapi, sekarang aku akan cuba untuk berlaku adil, apa yang anakku tak boleh buat, Danial juga tak boleh buat. 'Ibubapa' Danial tak boleh menyalahkan aku, kerana sebagaimana aku mahukan yang terbaik buat anak2ku, aku juga mahukan yang begitu untuk Danial.

Khamis, Ogos 06, 2009

Ramai betul yang demam

Bangcik kata ada doktor datang ke sekolah.. Ramai murid yang demam.
Cikgu pun ramai yang tak sihat - bangcik kata, kalau pergi sekolah pun,
banyak tak belajar. Semalam bangcik dah habis menduduki peperiksaan.
Kebetulan pulak semalam hujan lebat, kasutnya habis basah. Sudahnya,
hari ni, bangcik dengan pakaian sekolah yang lengkap - tertidur dalam
kereta (tak ke sekolah la tu....)

Risau memang risau dengan 'cuaca' sekarang. Baru saja baca berita 'on-line'
tadi, budak yang meninggal di Melaka semalam, hanya demam sehari sebelum
meninggal dunia - Innalillahiwainnaillahirojiun...

Mudah2an wabak ini segera berlalu pergi dan tiada lagi mangsa terbaru...

Bismillahillazi La Yadhurru Ma'asmihi SyaiunfilArdhi wa la Fissama'i wa huwassami'ul'alim (Dengan Nama Allah yang tidaklah memudaratkan bersama namaNya segala sesuatu
yang ada di bumi dan langit, Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.)


Sabda Rasulullah saw : Barangsiapa membaca doa di atas sebanyak 3 kali ketika pagi dan petang hari, maka tiada sesuatu pun yang membahayakan dirinya. (Hadis Riwayat Abu Dawud, At Tarmizi, Ibnu Majah dan Ahmad)

Rabu, Ogos 05, 2009

Angah dah bertambah sihat

Alhamdulillah, demam angah dah ok. Batuk pun sesekali je...
Aku dah mula benarkan angah turun ke dapur dengan memakai penutup hidung & mulut.

Selasa, Ogos 04, 2009

Cuti Sakit

Hari ini dan semalam aku bercuti - cuti sakit!
Apa yang sakit? Entahlah!
Semalam pagi, aku ke pejabat seperti biasa.
Mula2 semuanya ok saja. Aku ke kantin membeli makanan.
Selepas makan, masih ok. Kemudian aku merasa seram sejuk,
hingus mula keluar dan badan mula menggigil. Kenapa pulak ni???

Kerana bimbang, dengan dada yang terasa 'ketat',
aku mengambil keputusan untuk ke klinik. Aku ingin memberitahu bosku
tentang situasi yang kuhadapi. Tentang Angah yang positif Influenza A.
Melihatkan keadaanku, bos di seksyenku berkata biarlah dia saja tolong
memberitahu kepada bos No. 1.

Mereka membenarkan aku untuk pulang. Aku menelefon suami supaya mengambilku
dan menghantarku ke klinik.

Semasa berjumpa doktor, aku bertanya kepadanya (doktor itu), tentang
keadaan Virus Influenza yang semakin merebak. Beliau berkata, memang
belum ada ubat untuk virus berkenaan. Malam sebelumnya saja, di Pusat Perubatan
berkenaan ada 10 kes yang disahkan positif! Hospital juga akan menerima pesakit
yang benar2 kritikal untuk dimasukkan ke wad. Selebihnya, hanya disuruh untuk
dikuarantin di rumah.....

Isnin, Ogos 03, 2009

maafkan aku

seandainya esok
tiada lagi sinaran mentari buatku
aku bermohon dari kalian
yang mengenaliku senyara nyata
mahupun secara maya

maafkanlah aku
kerana aku ini manusia kerdil
yang serba serbinya lemah
yang tak pernah sempurna

andai ada tersentuh di hati kalian
andai ada tersinggung perasaan kalian
andai ada aku terambil hak kalian
andai ada apa-apa saja yang tidak memuaskan hati kalian

maafkanlah aku
iringilah aku
dengan doa tulus kalian....

badanku menggigil saat ini!

Perlukah aku bercuti...

Penat memang penat
letih memang letih
dadapun bagaikan ketat
nafaspun bagai tersekat-sekat

tapi - aku nak bercuti atas alasan apa?
kerana nak menjaga angah?
angah pun dah kurang demamnya
dan tak ada nampak sakit-sakit lain
seperti sakit kepala, sakit tekak dll
yang mengiringi demamnya

namun, curigaku tetap ada
yang 'pergi' semalam atau kelmarin
tiada apa-apa tanda
pergi begitu saja...

Allah juga Yang Maha Mengetahui segala-galanya.....

Ahad, Ogos 02, 2009

Angah demam!

Jumaat malam - bawa Angah ke sebuah pusat perubatan di Kg. Baru. Angah disahkan demam dan diberikan ubat2an dan dibenarkan pulang.

Sabtu petang - disebabkan nasih demam, Angah dibawa pula ke pusat perubatan di Pandan Indah. Ya Allah! Angah disahkan positif Influenza A. Disebabkan Pusat Perubatan itu tidak menenrima pesakit yang positif Influenza, Angah disuruh bawa ke Gleneagles Intan.... Lebih sejam di GIMC, tiada pula kekosongan wad. Aku dan suami bekejar pula ke HUKM. (Suami sebenarnya pun 'lari' sekejap dari wad - dia masuk wad pada jumaat malam kerana tekanan darah tinggi)

Kerana ada surat rujukan, Angah terus saja disorong ke wad kecemasan sementara aku menguruskan pendaftaran. Suami pula terus balik ke Pusat Perubatan di mana dia dirawat. Lebihkurang 3 jam, dalam wad kecemasan, aku hanya menanti diluar dgn ditemani adik iparku dan suaminya. Angah dah mula menghantar sms mengatakan bosan kerana hanya dimasukkan air.

Setelah penat menunggu, aku mengintai2 untuk mencelah masuk ke wad kecemasan bagi melihat keadaan angah. Jam sudah menunjukkan hampir 12tghmlm. Akhirnya, aku dapat mencelah masuk. Aku bertanya pada jururawat di situ keadaan angah. Dia menjawab "ha.. dah boleh discaj"

??????????? - tandatanya yang banyak di otakku -

Doktor datang memberi penjelasan itu dan ini akan kewajaran angah dibenarkan keluar dan hanya perlu dikuarantin di rumah. Kuhubungi suami. Mestinya suamiku jauh dari rasa puas hati. Dia suruh aku bawa semula angah ke PP di Pandan Indah. Sampai kat sana, semestinya PP itu menolak dari menerima angah. Sebaliknya doktor itu mengesyorkan angah di bawa sama ada ke HKL, Hosp. Sg. Buloh atau Hosp. Putrajaya. Jam pun dah menunjukkan 1 pagi. Setelah kering tekak 'berbincang/bertekak' dengan suami di telefon, kubawa angah (along yang memandu - along juga yang menjemput kami di HUKM) balik ke rumah.

Sekarang angah di rumah - menurut nasihat doktor, angah mesti minum banyak air, makan banyak buah2an dan tak boleh bergaul bebas. Doktor di HUKM memberi angah cuti sakit selama seminggu. Aku menanti pula apa yang suamiku nak buat bila dia keluar dari wad nanti. Sama ada kami perlu membawa angah ke salah satu hospital yang disyokan.

Aku dah malas nak menceritakan kepenatanku!

Terimakasih Nora


Dari Kemaman bawa durian
bawa ke Tanjung berpeti-peti
bukan nilaian emas berlian
budimu kujunjung sehingga mati