Klik klik

Khamis, Disember 31, 2009

Tiada yang pasti selain mati


Itupun kita tak tahu bila tiba saatnya.
Bergembira melaungkan esok tarikh baru bermula,
tapi apakah pasti esok kita masih bernyawa?

Rabu, Disember 30, 2009

Perlukah?


berpusu-pusu menanti detik itu
bertebaran bagaikan kelkatu
bersentuhan bahu dan siku
bergeseran tak kenal malu

tak perlu dikira satu persatu
memang jelas ramainya anak bangsaku
meresahkan hati ayah dan ibu
pulang ke rumah tak menentu waktu

perlukah dirai ketibaan tahun baru
dengan pelbagai pesta dan lagu
hingga menakutkan jin dan hantu
entah siapa yang lebih celaru

sudah-sudahlah duhai bangsaku
usah terleka dengan hiburan melulu
tiada ertinya sambutan itu
andainya esok kita terpaksa memakan batu!

Selasa, Disember 29, 2009

Kebaya

pemberian simbolik melalui maya oleh Lee dari Toronto


Waktu muda dulu, masa masih lagi pakai saiz M, aku memang suka sangat memakai kebaya. Perasan cantiklah kononnya. Padahal saiz dari atas ke bawah macam pokok pinang.. lurus je.

Lepas kahwin, masih lagi suka pakai kebaya. Tapi.... hari pertama aku sarungkan kebaya waktu nak pergi kerja selepas duduk serumah dengan En. Suami, dia boleh bertanya, 'nak ke mana tu?' Aku jawablah 'nak pergi kerja'. Selamba je En. Suami suruh aku salin balik pakai baju kurung. Entah apa alasannya, aku pun tak pasti. Rasanya, dia tak suka aku memakai pakaian yang menunjukkan bentuk tubuh.



Lama jugalah aku tak memakai kebaya sehingga munculnya fesyen kebarung. Kebarung lebih kurang macam baju kurung - longgar, jadi En. Suami tak kisah. Agaknya aku ni memang degil, dari kebarung, aku mula memakai kebaya semula. Masa tu dah beranak tiga. Aku berjaya menguruskan badan selepas beberapa bulan berdiet. Konon nak tunjuk badan yang dah kurus, aku pun melaram semula dengan kebaya. Ditakdirkan Allah swt, aku mengandung anak keempat. Mula saat itu sampai kini (anak bongsu dah 8 tahun ++), padan muka aku.. badan dah tak kurus lagi. Sekarang pergi kerja, kebanyakannya hanya kurung dan jubah jadi pakaianku. Saiz pulak kalau tak XXL, paling kecik XL!


Isnin, Disember 28, 2009

Nak tengok gambar tak?

tak nak tengok pun tak apa... gambo dah basi :(



Azie yang sentiasa ceria sedang menghantar laporan menerusi sms...


DJ Epoi yang sempoi... walaweiiiii..


Entah apa saja yang disembangkan...


Majistret Azizah Aling yang petah berbicara...


Blogger V.I.C @ Diana... mmg sporting walau bertemu pertama kali..


Blogger Acu Sayang.. hobinya round the world. :)


En. Rahmat kita ni, kerjanya mengkaji hantu.. ishhhh.. takde kerja lain ke??


kartika.. bla..bla..bla...altantuya..bla..bla..bla...


Mr & Mrs MAS pakai sandal croc tapi aku pakai sandal crook...

macam sama beso je En. Suami ngan En. Mazidul (tipu betul la gambo kat TV tu.. MAS tak le beso mana pun)

makanan yang sampai sudah tak habis dimakan....



teramatlah boringnya.. 3 hari 3 malam cuba muat naik gambo, tak berjaya...huhuhu....Disebabkan dah banayk gambar2 yang tersiar di blog blogger2 lain yang hadir, aku letakla kat sini gambar2 syok sendiri...

Ahad, Disember 27, 2009

Ulang tahun Perkahwinan ke 23

Diam tak diam, sedar tak sedar, hari ini genap 23 tahun kakcik melayari bahtera rumah tangga bersama En. Suami. Sedangkan lidah lagi tergigit, maka tiada serinya rumah tangga tanpa asam garam perbalahan dan pergeseran. Tapi, tidaklah sampai memutuskan sebuah ikatan. Semoga kami akan terus bersama ke akhir hayat. InsyaAllah.

Perhatian!!!

Disebabkan kakcik tak dapat nak muat naik gambar2 perjumpaan blogger buat masa ini, kakcik minta kawan2 pergi ke blog Mazidul (link ada kat bawah sebelah kanan blog kakcik ini). Banyak gambar kat sana. Terima kasih Sdr. Mazidul.

Sabtu, Disember 26, 2009

Pertemuan Bloggers - 26/12/2009

gambar menyusul kemudian.. siput lagi laju dari nak muat naik gambar. Letih menunggu. Aku bersama suami dan blogger Azieazah tiba di tempat yang dijanjikan di FRIM lbhkrg jam 9.45 pagi. Penganjur pun belum tiba! Blogger yang datang dalam 12 orang, campur ahli keluarga lebihkurang 35 orang semuanya. Berkonsepkan santai, pertemuan diisi dengan sembang2, makan2 dan bergambar. Aku dah cuba untuk muat naik gambar2.. entah apa masalahnya dengan lappy ni ke atau line streamyx ke... berjanggut aku nak menunggu walau sekeping gambar pun. Aku tidur dululah. nanti2 aku masukkan gambar (macam le ada orang nak tengok selain dari Azie..hehehe..)


Apa2pun terimakasih kepada Sdr. Mazidul dan Sdr. Azrul yang mencetuskan idea pertemuan ini.

Khamis, Disember 24, 2009

Hari ini - 24/12/2009

bangun seperti biasa. Lepas solat subuh, masak air. Duduk-duduk sekejap tengok tv. Semalam En. Suami kata nak pergi ke FRIM, tengok jalan (hehehe.. mcm tak pernah tengok jalan la pulak!). Tapi, biasalah.. kalau cuti2 ni, kan sedap peluk bantal? Sudahnya aku ke dapur semula. Masak nasi, masak ikan tenggiri goreng sambal, goreng telur.. senang punya kerja.

Sebenarnya hari ini ada temujanji dengan Dr. S di HPAI, Kg. Baru. Pukul 9.00pg kami tiga beranak keluar dari rumah (sikecik yang sepet tu mana nak tinggal kalau dah terjaga). Sampai ke hospital, rupanya Dr. S hanya ada sebelah petang. Hmmm.. macamanalah jururawat tu bagi temujanji dulu?

Sudahnya, aku dan suami buat keputusan untuk ke Shah Alam dulu (kalau ada nombor telefon pB, boleh juga buat temujanji!). Kami ke kilang roti Gardenia di Seksyen 23. Sebelum itu, singgah sarapan pagi di restoran sebelah De Palma Hotel. Lupa pulak nama restoran tu. Maisha ke apa ke.. ish.. nampak betul dah tua.. Sedap juga roti canainya. ABC dia pun sedap. Kami ke Gardenia kerana aku ingin membeli sejumlah roti Quick Bites untuk hari Sabtu nanti (aku malas nak masak dan malas nak bawa bekas yang banyak.. baik tak aku?). Terpaksa beli hari ini sebab esok cuti. sabtu nanti tak sempat pulak.

Selesai uusan di Gardenia, kami terus ke FRIM. Saja nak tengok tempat. Pergi sampai kat pintu gerbang saja. Lepas tu patah balik ke Kg. Baru. Sampai kat Kg Baru dah masuk Zuhur. Pukul 1.45ptg, aku masuk ke HPAI. Dr. S hanya tiba pukul 2.30ptg. Masuk jumpa dia. Dia tanya tentang sakitku. Setelah bercerita (?) begitu begini, Dr. S kata mungkin aku terpaksa diubat dengan 'pisau' juga. Aku kata, tunggu bajet tahun depan la. Tahun depan pun berapa hari saja lagi, kan?

Habis urusan, kami balik. Dalam perjalanan, singgah pula di Delcol untuk beli 2 kotak air mineral. Untuk hari Sabtu juga, InsyaAllah. Sampai kat rumah dah pukul 4.00ptg. Lepas habis taip catatan ni, nak solat Asar. Lepas tu nak bummmmmm kejap. Tapi... dak sepet dah 'tempah' mak dia ni untuk suapkan dia makan...

Rabu, Disember 23, 2009

Hari ini - 23/12/2009

Selepas solat subuh, bersiap seperti biasa - macam nak pergi kerja. Keluar rumah bersama En. Suami terus ke Medan Selera Hospital Kuala Lumpur. Makan nasi lemak (ehem Adik, kakcik makan sesekali je tau..) dan minum milo panas. En. Suami makan nasi lemak dan minum air barli panas.

Lepas makan minum, kami menuju ke Subang Jaya. Ke pusat servis Toyota. Selalunya En. Suami servis kereta di Jalan Kuari, Cheras saja. Kali ini dia ingin berjumpa dengan kawannya yang kerja dekat Subang jaya tu. Habis servis kereta, kami terus balik ke rumah. Nasib baik! sampai je kat rumah ada kawan menanti untuk meminjam bekas makanan bufet. Kepala aku sebenarnya dah nenong-nenong pening semasa dalam kereta lagi. Kawanku datang tak lama pun, selepas ambil apa yang dia nak, mereka suami isteri terus balik.

Dah jam 9.30pg, anak-anak kecuali Along belum bangun lagi. Along pergi mengajar budak mengaji Quran. Aku dan suami ambil kesempatan untuk tidur sementara menunggu anak2 bangun. Suami dah berjanji dengan anak-anak untuk membawa mereka mandi di Desa Water Park seagai ganti tak jadi pergi ke Port Dickson.

Jam 11.30pg kami keluar dari rumah menuju ke Desa Water Park. Aku dah tahu, makanan dan minuman dari luar tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam taman air tersebut. Bagaimanapun, aku masukkan juga dua botol air mineral dan satu bekas nasi goreng ke dalam beg sandang yang kubawa bersama tuala dan pakaian adik. Bukan main seronok adik, bangcik dan ayahnya main air. Aku cuma duduk di kerusi menjaga barang2! Jam 4.15ptg baru kami keluar dari sana.

Selepas solat Asar, aku ingat nak tidur sekejap. Walaupun aku tak mandi manda atau main air, dengan keadaan sekarang, aku merasa agak letih dan mual. Kalau dah duduk dengan jejaka idaman malaya ni, susah aku nak tidur.. ada saja rengeknya. Padahal bukak sekolah ni, dah masuk darjah 3 pun.

Lepas Maghrib, aku dan suami keluar berdua-duaan lagi. Tak tahu nak ke mana, akhirnya kami ke Kg. Baru. Makan bubur nasi bersama lauk pauknya. Selesai makan, pusing-pusing kat Bukit Bintang. Lepas tu balik ke rumah. Ingatkan lepas solat Isyak nak tidur, tapi hati meronta nak buat catatan kat sini. Lagi pun, tadi aku dan makan 7 jenis ubat yang dibekalkan oleh doktor. Jadinya, aku susah nak tidur. Rasa resah semacam je. Patutnya, dah makan ubat banyak-banyak tu, bolehlah terus lena. Yang jadi, sebaliknya pula.

Selasa, Disember 22, 2009

Pengumuman...


Untuk makluman adik-adik semua,
kakcik akan bercuti mulai esok (23/12) hingga Ahad (27/12). Kakcik tak ke mana-mana, rancangan ke Port Dickson terpaksa dibatalkan kerana sakit yang kakcik alami. Bagaimanapun, insyaAllah, kakcik akan menyertai Perjumpaan Bloggers Lembah Klang pada hari Sabtu nanti. Untuk Adik (Rahmah) dan Azie, jangan lupa sms atau telefon kakcik nanti tentang apa-apa perkembangan, tau....

Kalau rajin, kakcik akan online juga dari rumah. Kalau tak ada tu, maknanya.... kakcik malas. Doakan kakcik sihat dan tidak terpaksa dimasuk ke wad.

Menangis lagi...



Hanya Dia Yang Maha Mengetahui bagaimana sakit yang kutanggung ini. :(

Isnin, Disember 21, 2009

2kg sahaja????


Semalam, sementara menanti ketibaan Adik (Rahmah dan Dr. Kahar), aku sempat 'menyelinap' masuk ke Hospital Pakar Al Islam untuk menimbang berat badan. Masa aku masuk ke wad pada 1/12 hingga 4/12 tempohari, berat badanku sudah mencecah 80kg! (Awal tahun dulu beratku 73kg). Selepas menimbang semalam, berat yang ditunjukkan oleh penimbang tu 78kg..huhuhu...

Malam sebelumnya, aku menimbang berat di rumah adikku menggunakan penimbang digital -berat yang ditunjukkan ialah 75kg - mana satu yang betul??? Tapi aku perasan, banyak pakaianku sekarang agak sendat untuk kupakai. :(

Ahad, Disember 20, 2009

Berjumpa Rahmah (blogger AKAK)

Pagi tadi sewaktu menemankan suami ke Pasar Chow Kit (seperti biasa, aku cuma menemankan dalam kereta.. suami yang masuk membeli belah kat dalam pasar tu..), aku teringat untuk sms Adik (Rahmah @ blogger AKAK). Saja2 mengusik bertanya dia bersarapan di mana. Aku tahu dia dan suaminya, Dr. Abdul Kahar selalu bersarapan di Kg. Baru. Setelah berbalas-balas sms, Adik bersetuju untuk berjumpa denganku di Kg. Baru.

Memandangkan Rahmah dan suami akan tiba di Kg. Baru dalam masa sejam lagi, aku dan suami balik dulu ke rumah untuk menghantar barang2 yang telah dibeli. Kami bertemu lbhkurang jam 10.15pg. Aku dan suami mengekori kereta Perdana hitam V6 yang dipandu Dr Kahar ke gerai nasi lemak Kak Sham. Sampai Kak Sham dah menghulur tangan untuk bersalam (nak tutup kedai), barulah kami berempat bangun untuk balik. Siapa yang bercerita tak habis2 tu??? Suamiku dan Dr Kahar rupanya lagi banyak bercerita. Mungkin aku dan Adik dah banyak bercerita di blog kut!

Apa2pun terimakasih kepada Adik dan Dr. Kahar kerana belanja kami sarapan. Kakcik tak bawak kamera untuk merakam gambar. Nak tunggu gambar di blog Adik.

Sabtu, Disember 19, 2009

Hari ini dan semalam

tak ada kena mengena dengan tajuk lagu J. Mizan tu tau...

Saja-saja nak merajinkan diri buat catatan di sini.

Hari ini, bangun macam biasa. Lepas solat Subuh, gosok pakaian En. Suami yang dah 2 minggu tak bergosok ( cuma 7 pasang - tolak cuti tahunan yang suami ambil dan cuti Jumaat, Sabtu dan Ahad). Kemudian, potong dan jahit kaki seluar sekolah dak Adik. Masak pun cuma buat kari daging, panaskan nasi semalam (punya lah rajin - tapi, tak baik membazir kan???) dan bacuh teh O. Anak2 dan suami tak sarapan pagi.. iyelah dah bangun pun pukul 11 lebih, sarapan apanya? Asal hari cuti, lepas Subuh... tidur! Itulah yang diaorang tahu.....

Lepas ni, rasanya aku nak ikut macam Ja yang merajinkan diri ke tahap Langit Ketujuh!

Semalam punya cerita..

Pagi - suami pergi ke perhimpunan Maal Hijrah di PICC. Selepas suami dan anak2 balik dari solat Jumaat, En. Suami bawa aku pergi berurut.. ikut aje la.. Hmmmm.. sakit kakiku macam tu juga... :(

(Tetiba macam tak ada ilham nak teruskan catatan ini. Kat luar hujan, tarik selimut sedap ni!)

Khamis, Disember 17, 2009

Malas...


memang tak elok penyakit malas ni. Tapi tak tahu kenapa, aku rasa macam malas saja nak menulis kat sini. Tak ada ilham pun iya juga kot. Jadi sepanjang 3 hari bercuti ni (Jumaat sampai Ahad), kalau blog ini tak punya catatan baru, ertinya tuan rumah kena sindrom malas dan hilang ingatan buat seketika. InsyaAllah kita jumpa Isnin nanti.

Mudah2an semuanya baik-baik sahaja.

Selamat Tahun Baru


Rabu, Disember 16, 2009

Semakin hampir..

Mahu tak mahu, sedar tak sedar, perjalanan hidup ini semakin hampir ke destinasinya. Walaupun kita cuba menafikan, saat itu akan tiba jua...

Malam tadi, pukul 9.00 lebih waktu di Kuala Lumpur, saatnya bagaikan begitu hampir denganku. Bersediakah aku? Bersedia atau tidak ... andai saatnya tiba, siapakah yang dapat menghalang?

Aku terjaga dari tidur. Tiba-tiba saja tekakku terasa begitu kering. Aku sudah tidak tahu bagaimana hendak bernafas. Terawang-awang tanganku - tak tahu apa yang hendakku capai. Tercungap-cungap. Langsung tidak terasa liur yang ku telan. Tidak juga terasa udara yang kuhirup. Rengkungku bagai langsung tidak berfungsi lagi. Ternganga-nganga.

Dari beberapa hari lepas, aku memang amat mengingati tarikh 'pemergian' mak. Dan saat aku 'bergelut' itu, aku masih sempat berfikir - 'apakah aku akan menyusuli mak ke sana?'

Suamiku bagai hilang arah melihat keadaanku. Terjerit-jerit memanggil Angah (Along masih belum balik dari masjid). Ke atas ke bawah suamiku - tak keruan. 'Cepat..cepat.. ayah nak bawa mak ke hospital...'. Dalam keadaan begitu, aku masih waras. Masakan aku hendak ke hospital dengan berkaftan? Cepat-cepat aku menyalin pakaian dalam keadaan termengah-mengah.

Suami meminta Angah 'mendukung' (biar betul?!) aku. Sebenarnya mungkin dia maksudkan 'memimpin' aku ke kereta. Sementara itu, dia (suami) sendiri membawa kereta ke depan pintu. Kalau namanya Angah, memang lambat sangat bertindak.. masih lagi nak menyalin pakaian (agaknyalah..), sedangkan aku sudah pun masuk ke dalam kereta. Tak mahu berlengah, tanpa Angah, suami terus memandu ke arah hospital sambil mengingatkanku supaya sentiasa ingat pada Allah, pejamkan mata dan tenangkan fikiran.

Jalan pulak agak sesak. Sampai saja di hospital (aku tak mahu sebut hospital mana - sebab ada rasa terkilan di hatiku!), suami dengan segera ke kaunter. Tak sampai 10 saat, dia berpatah balik ke kereta dan memarkir kereta betul-betul di hadapan pintu masuk Kemalangan dan Kecemasan. Pembantu Hospital segera membawa kerusi roda dan aku disorong ke kerusi untuk terus menerima rawatan nebulizer. Beberapa kali aku termuntah yang hanya mengeluarkan lendir jernih.


Selepas selesai mengambil gas, dalam sejam aku dibiarkan duduk di kerusi kononnya untuk berehat. Malas nak komen lebih-lebih. Mungkin itu yang dinamakan 'prosedur'. Dah le sejuk menggigil. Akhirnya aku boleh bernafas seperti biasa - itu yang penting.



Selepas mengambil Asthalin Inhaler di kaunter, aku masuk ke kereta untuk balik ke rumah. Sempat lagi aku cakap kat suami, 'saya nak makan prosperity beef burger'. Masa tu, dah jam 11 malam. Tak kira - aku nak makan juga (dah beberapa hari sebenarnya aku tak makan nasi.. konon nak turunkan berat badan!). Suami pun ikut sajalah kehendak isterinya ini.





Pagi ini, aku rasa badanku teramat-amatlah lemahnya. Mahu tak mahu, aku terpaksa bangun juga untuk ke pejabat. Cutiku cuma tinggal sehari dan doktor juga tidak memberikan cuti sakit. Nasib baiklah, tidak banyak yang perlu kulakukan di pejabat ini. Alhamdulillah.

Tarikh ini - 2 tahun yang lalu


jam 10.00 malam di ICU Hospital Ipoh, emak kembali kepada Maha Pencipta buat selama-lamanya. Semoga roh emak ditempatkan di kalangan roh orang-orang yang beriman dan dikasihi Allah. Al- Fatihah.

Isnin, Disember 14, 2009

Syhhhhhhhhhh...

diam.. diam... kakcik nak habiskan baca novel ni.... Nanti-nanti kita cerita lagi ek? :)



(Nanie.. kakcik ambil gambar novel tu dari rumah Nanie tau...)

Ahad, Disember 13, 2009

Kemalangan.

Aku memang takut pada kemalangan.

Bukan setakat takut ditimpa kemalangan (na'uzubillahhiminzalik).
Aku juga takut berhadapan dengan kemalangan yang berlaku di hadapan mata - terutamanya kemalangan jalanraya. Suamiku sering 'memarahi'ku. Apa tidaknya.. setiap kali nampak atau mengetahui ada kemalangan, aku awal-awal lagi akan menutup mata. Aku ngeri! Berbanding dengan suami yang seboleh-bolehnya akan berhenti apabila terserempak dengan kemalangan - sama ada untuk memberi bantuan atau untuk menyibuk!

Pagi tadi, dalam perjalanan menuju ke Kuala Lumpur - dari Jalan Loke Yew memasuki Jalan Maharajalela, betul-betul di jalan memasuki terowong (sebelah atasnya dahulu adalah Bulatan Edinburgh atau Bulatan Dewan Bahasa) berlaku satu kemalangan. Dari jauh, aku nampak beberapa buah motor, kereta dan beberapa orang berkerumun. Aku cakap pada suami, 'ada kemalangan' sambil cepat-cepat menutup mata dengan tangan. Adik ipar ku yang duduk di belakang dengan berani memandang ke arah kemalangan tersebut. Dua orang - lelaki dan wanita, telah terbaring di tepi jalan. Menurut adik iparku, mata lelaki tersebut terbeliak dan mulutnya pula ternganga.

Sambil meneruskan perjalanan, suami menyuruh aku mendail talian kecemasan. Kata suami, 'kalau korang semua tak ada, dah tentu saya berhenti'. Selalunya, kalau aku ada pun, dia akan berhenti juga.. tapi, sebenarnya kami ada urusan yang perlu disegerakan. Aku tahu sangat suamiku, seboleh mungkin dia akan berhenti. Tidak lama kemudian, suami mendapat panggilan semula dari pihak ambulans yang bertanyakan keadaan mangsa. Tak dapatlah hendak diberitahu keadaannya kerana kami tidak lagi berada di situ. Menurut kata pemanggil itu, ramai yang menelefon tapi sambil berlalu. Mereka perlukan orang yang berada di tempat kejadian bagi memudahkan mereka menyediakan peralatan yang perlu dibawa. Suamiku berkata padaku..'itulah.. lain kali, kalau ada kemalangan, jangan asyik takut..takut..., kalau kita berhenti tadi, senang kita nak beritahu keadaan mereka..' Dah.. aku pulak yang salah!

Kesimpulannya.. lain kali tahulah aku, kalau nak membantu dengan menelefon nombor kecemasan, kita perlu menunggu di situ...hehehe...aku akan tunggu dalam kereta la jawabnya seperti beberapa kali yang pernah berlaku sebelum ini!

Sewaktu melalui jalan berkenaan semasa balik, kami nampak sebuah motosikal, dua biji topi keledar, sepasang selipar wanita dan botol air terbiar di tepi jalan. Entah apalah nasib mangsa kemalangan tersebut. Entah apa pulalah punca terjadinya kemalangan itu..mungkinkah angkara peragut??

Jumaat, Disember 11, 2009

Bengkung



sejak beberapa hari lepas aku mula memakai bengkung seperti dalam gambar di atas. Bengkung ini bertujuan untuk menyokong tulang belakangku. Jurupulih anggota yang merawatku mengesyorkan aku memakai bengkung. Aku teringat kepada bengkung En. Suami yang ada di rumah.

Jadinya bermula Selasa lepas, aku pun memakai bengkung tersebut semasa di pejabat dan juga semasa tidur! hehehe.. 'lihat pinggangkuuuuuu.... ramping kannnnnnnn' (macam dalam iklan kat TV tu.. tak ingat iklan apa...). Rasanya ada juga kesan dari pemakaian bengkung ini, kakiku tidak lagi merasa sakit sewaktu aku memakainya, dan aku juga lebih mudah untuk bangun dari pembaringan di waktu pagi. (Sepatutnya, aku tak perlu pakai sewaktu tidur.. tapi, aku pakai juga...)

Konsert SRK dibatalkan



konsert SRK yang dijadualkan akan diadakan di Melaka pada hari ini, dibatalkan atas alasan kesibukan aktor itu dan KETIADAAN PENAJA.

Eloklah tu. Minggu depan (seminggu saja lagi) kita umat Islam akan menyambut 1 Muharram. Nak sambut Tahun Baru Islam dengan konsert ke????

Khamis, Disember 10, 2009

Maaf!


aku masih tak punya 'rasa' untuk bercerita
hatiku ini masih tercalar
naluriku masih tertanya-tanya...

aku bukan maksum
aku tak boleh menelan segala kepahitan begitu saja..

aku akan cuba
untuk menilai kembali diri
mungkin aku bersalah di mata orang
tapi aku sendiri tak pernah sedar.....

Rabu, Disember 09, 2009

Tetamu



tiba-tiba ada yang datang bertamu
dengan sopan dia mengetuk pintu
dan selayaknya sebagai tetamu
kulayan dia tanpa rasa ragu

kiranya dia datang dengan hajat tertentu
untuk merisik apakah aku ini adalah aku
yang pernah bersapa di satu waktu dulu
meskipun hanya salam dan terus berlalu

setelah dia pasti siapa aku
dibisikkannya di angin lalu
bahawa aku ini begini dan begitu
dan tersebarlah khabar dibawa bayu

berterbangan di udara bagaikan debu
tercalarlah maruah seorang aku
sedangkan aku sendiri tak mungkin tahu
apakah onar yang telah berlaku

biarkanlah apa yang telah berlaku
tak mungkin aku memutar waktu
tak mungkin juga aku akan mengaku
andainya aku tak tahu apa salahku...

Selasa, Disember 08, 2009

Apakah aku cerewet?


(gambar sekadar hiasan)

Sabtu lalu, aku menghadirkan diri yang tidak berapa sihat ini ke satu Majlis Perkahwinan. Memang seronok berjumpa dengan kawan-kawan yang sekian lama tidak berjumpa (gambar belum upload). Tengok dari luar - memang nampak kemeriahan majlis tersebut walaupun dibuat di Pusat Komuniti. Pelaminnya pun - waduh! gah gitu...
Biasalah kan.. kalau majlis di dewan, tetamu datang dan pergi..

Aku dan keluarga bersama keluarga adikku Nora sampai agak awal - jadi, tetamu pun belum ramai. Selepas bersalaman dan berpelukan dengan 'tuan rumah', kami pun menuju ke meja makan (makanan disediakan secara buffet). Bila melihat pinggan dan gelas minuman yang disediakan, aku jadi terkedu! Mengapa? Pinggan dan cawan agak basah dan nampak tak bersih! Maklum saja, kalau pinggan mangkuk jenis 'melamine' memang mudah lekat 'karat' makanan kalau tidak dicuci dengan betul. Lepas satu, satu gelas aku angkat untuk mengisi air.. semuanya berkarat! membuatkan seleraku jadi terbantut. Sudahlah basah, melekat pula sisa-sisa yang tidak dibersihkan. Kalau ikutkan, belum ramai yang hadir.. jadinya, gelas dan pinggan sepatutnya kering kerana belum di'guna semula' untuk tetamu seterusnya.. Walaupun aku mengisi air dalam gelas.. sampai sudah, aku langsung tak minum.

Aku cuma mengambil sedikit nasi dengan seketul daging dan seketul ayam. Di suapan terakhir, aku tergigit sesuatu yang agak keras. Bila aku keluarkan dari mulut dan melihat 'benda' yang kugigit.. bentuknya betul-betul seperti kuku yang dipotong! uwekkkksssss.... Disebabkan tak mahu merosakkan majlis, aku anggap apa yang kugigit itu adalah cebisan serai yang tak hancur (sedangkan tekakku punyalah loya!)..

Aku sama sekali tidak menyalahkan tuan rumah dalam hal ini. Apa yang kukesalkan adalah 'caterer' yang dibayar dan diberi tanggungjawab untuk menyediakan hidangan di majlis tersebut. Kalau dah tahu kotoran yang melekat itu tidak boleh ditanggalkan (suamiku membuat teguran kepada pekerja katering itu..), mengapa tidak digunakan sahaja gelas pakai buang? Mungkinkah terlalu mengejar keuntungan sehingga tidak memikirkan malu yang bakal ditanggung oleh tuan rumah?

Isnin, Disember 07, 2009

7/12/2009

Bangun awal seperti biasa. Siapakan makanan untuk anak-anak. Ringkas saja - ayam goreng, kentang goreng, nasi dan teh o.

Sampai di pejabat pagi ini.. rasa macam nak muntah. Kepala pun pening. Masuk ke surau.. tidur sekejap (hari masih awal). Lepas tu, naik ke Tingkat 6 untuk jadi fasilitator kursus. Nasib baik tak kena bagi ceramah, kalau tidak mahu pitam terus...

Ahad, Disember 06, 2009

Bila waktunya?

kita takkan tahu

yang pasti waktunya akan tiba juga

cuma....

adakah kita benar-benar telah bersedia

untuk kesana........

Sabtu, Disember 05, 2009

Aku di rumah sekarang

tapi.. kakiku ini masih berdenyut2 :)

InsyaAllah sekejap lagi nak pergi ke Majlis Perkahwinan di Gombak Setia. Tapi, takkanlah nak pergi awal sangat kan? Kalau ikut pada kad jemputan, majlis bermula jam 12.00 tengahari dan berakhir jam 4.00 petang. Majlis dibuat di dewan.. taklah pulak aku rajin nak menolong siapkan hidangan!

Semalam, adikku Nora sekeluarga tiba dari Kuantan. Aku memang seronok sekali dengan kehadiran mereka. Walaupun kami tak sedarah sedaging (macamana gayanya kalau sedarah sedaging, ya? macam kembar siam kot! - melekat) tapi, ada sesuatu yang amat istimewa dalam perhubungan kami. Bagaikan ada pertalian yang rapat - saat aku gundah - dia dapat merasakannya, saat dia sedih - aku bagaikan terluka! Ini yang dikatakan kuasa Dia Yang Maha Berkuasa. Perkenalan dan persaudaraan kami bermula/terjalin melalui maya... Harap2nya perhubungan kami kekal begini ke akhir hayat kami.. InsyaAllah.

Tentang sakit kakiku ini, kuserahkan juga kepada Dia. Dia Maha Mengetahui.. mungkin juga untuk menghapuskan dosa2 kecilku yang andai dikumpul akan menjadi besar! Saat duduk, tak terasa sangat sakitnya, tapi bila bangun - aduhai! ngilu dan berdenyut2...

Jumaat, Disember 04, 2009

Aku rindu kamu....

siapa kamu tu??

kamu lah... yang sedang membaca coretanku ini..

tak percaya?

tak percaya tak mengapalah...

tapi, kakcik percaya pada kata hati kakcik..

kakcik ada ramai kawan yang tak pernah kakcik jumpa..tapi tetap mengambil berat..sudi singgah walaupun kakcik tak ada di rumah..

di hati kakcik.. kakcik ingin sekali berjumpa dengan kalian...

InsyaAllah, dengan izinNya mungkin kita akan berjumpa juga..

Sekali lagi.. aku sayang rindu kamu...

Khamis, Disember 03, 2009

Duduk di wad

bukanlah sesuatu yang menggembirakan seperti duduk di hotel. Sebilik untuk 4 orang. Tak mahu duduk bilik seorang - takut!

Bila ramai, mesti banyak ragam. Aku tak ada pelawat pun.. Cuma Along atau suami datang menjenguk. Itupun sekejap. Iyalah.. masing2 sibuk. Aku tak sedih pun. Wanita di katil berhadapan katilku, disyaki ada tumor dalam kepala (atau otak?). Dia akan dirujukkan ke HKL atas alasan yang aku tak tahu.. nak bertanya, nanti dikatakan penyibuk pulak.. dia bercerita, aku dengarlah. Malam tadi, ramai saudara maranya datang melawat. Riuh rendah dengan anak buahnya (3 orang kanak2 perempuan) siap tidur baring atas katil kosong di sebelah katilku...aduh! sabar jelah. Setakat tidur baring tak apa lagi.. suara hiruk pikuk yang tak tahan tu... :( Jururawat pun tak boleh buat apa-apa... (kalau hospital kerajaan, mahu dah kena tengking agaknya..)

Dua orang pesakit lagi (nenek-nenek) dah discaj. Malam ini, aku mungkin tinggal seorang. Tapi tak apalah, bilikku di hadapan kaunter jururawat.

Hari pertama buat fisio, aku tak merasa pun regangan yang dilakukan, mungkin disebabkan sakit yang kualami mengatasi rasa regangan yang dibuat. Hari kedua (semalam) barulah ada rasa pinggang ke bawah ditarik-tarik.

Doakanlah, mudah2an selepas ini sakit kakiku tidak lagi menjadi satu masalah yang membataskan pergerakan dan aktiviti seharianku. InsyaAllah.

Rabu, Disember 02, 2009

Slip disc

Beginilah rupa alat yang digunakan untuk merawat tulang belakang kakcik...
saat menaip ni, kakcik 'lari' sekejap dari Hospital Pakar Al Islam (dulunya Kampung Baru Medical Centre). Hehehe... dengan kebenaran Doktor la... Nak ambil pakaian, nak suruh suami atau anak yang bawakan, nanti entah 'kain buruk' mana yang mereka ambil.

Hari Isnin.. balik dari kerja, suami ajak terus ke HPAI.. sakit kakiku bagai tak tertanggung lagi. Doktor pakar yang melihat keadaanku, mengagak yang aku kena 'slip disc'. Dia kata kena buat MRI Scan. Aku bagitahu kat Dr. S yang aku dah pernah buat MRI Scan. Dr. S meminta aku bawa filem itu kepadanya. Dipendekkan kisah, memang sah aku mengalami slip disc. Aku terpaksa menjalani rawatan fisioterapi. Jadinya, andai blog ini sunyi... faham2lah bahawa aku sedang berada di Hospital. Malas nak bawa lappy ni ke wad... Lagipun, lappy ini Along yang punya...