Klik klik

Memaparkan catatan dengan label Hari Raya.... Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hari Raya.... Papar semua catatan

Isnin, Oktober 12, 2009

Jamuan lagi!

Hari ini, Bahagian tempat aku 'bancuh air' pulak adakan jamuan. Makan lagi.. Huh! berat badan pun dah berkilo-kilo naik! InsyaAllah esok kalau jadi nak ikut suami ke Pulau Pinang untuk jamuan hari raya cawangan Syarikatnya. Apa lagi kerja aku kalau bukan mengekor suami... seantero Syarikat tempat suamiku bekerja dah arif tentang itu... jangan marah, ek?




Zai.. ada contact number tak....

Ahad, Oktober 11, 2009

Selesai!

Alhamdulillah, akhirnya 'majlis makan-makan' kat rumah aku selesai juga pada jam 11.00 malam tadi. Memang penat tapi berbaloi-baloiiiiii.... Lepas ni Along tak boleh bising- bising lagi nak buat makan-makan kat rumah. Mak dah berkorban tenaga tau! Sampai bengkak kaki dek lama sangat berdiri!

Dari pagi, sorang-sorang duduk kat dapur. Menu biasa je.. mi kari, nasi ayam dan nasi impit bersama kuah kacang. Dah malam, tambah pulak nasi goreng dan mi goreng. Ramai juga yang datang. Syukurlah semuanya dah selesai...

Jumaat, Oktober 09, 2009

Nak masak apa ek?

Along nak jemput kawan-kawan dia datang ke rumah esok. Kawan-kawan mengajar. Kawan-kawan masjid. Jiran-jiran terdekat. Agak-agak berapa orang ek? Ada ke sampai 100 orang? Kawan-kawan Angah ada 4 - 5 orang. Nak masak banyak mana ek? Aku sorang-sorang kena masak ni!

Aku cuma pandai masak sejenis dua makanan je. Mudah2an segalanya berjalan lancar. Ada sapa-sapa yang membaca ni nak datang tak? Silalah... kita jamah apa yang ada. :)

Khamis, Oktober 08, 2009

Jamuan Hari Raya

Hari ini, 8/10/2009 bersamaan 19 Syawal 1430. Kementerian tempat aku 'cari makan' mengadakan Jamuan Hari Raya. Alhamdulillah.

Cumanya, bila sebut tentang jamuan ini - tak kiralah, di rumah, di pejabat, di restoran atau di mana saja. Satu perkara yang aku tak berkenan (harap-harapnya aku dapat menjaga tingkah lakuku sendiri) adalah berkenaan dengan sikap.

Dah namanya jamuan. Yang datang mesti ramai. Hidangan mesti banyak. Tapi, ada sesetengah orang, bila dah berada di depan hidangan, seolah-olah semua mahu diambil. Bimbang tak cukup, tak mahu orang lain mengambil sama. Siap menjeling. Ini bukan sengaja aku reka, tetapi selalu terjadi di depan mata. Nak kata budak-budak, dah lebih dari dewasa. Nak kata dewasa, perangai kalah budak-budak. Ada yang mengambil makanan seolah-seolah dah berbulan tak makan. Penyudahnya, makanan dalam pinggan tu, kais sana, kais sini, tinggal macam tu saja. Lepas tu bangun lagi, ambil yang lain pulak! Langsung tak teringat pada saudara-saudara kita yang di dalam kesusahan di luar sana. Iya, mungkin jauh - kita tak nampak. Bagaimana pula dengan kawan-kawan yang sama-sama datang, tetapi terkebil-kebil tak dapat mengambil makanan? Apakah kita bangga menunjukkan sikap 'tak bertamadun' begitu? Masa ambil kononnya sebab nampak sedap, atau nanti tak payah bangun lagi. Bila dah ambil, mencebik bibir - kononnya makanan rasa entah apa-apa. Padahal memang dah tak lalu nak makan.

Tempat duduk pun sama. Kalau dah selesai makan tu, pandai-pandailah bangun. Bagi peluang pada orang lain pulak untuk duduk. Ini tidak, siap bergosip lepas satu, satu. Pedulikan mata yang memandang. Lagi orang pandang, lagi terasa riak!

Aku berpesan pada diriku sendiri, dan juga pada anak-anak serta keluargaku... cerminlah diri, hiasi peribadi dengan pekerti yang tidak membuatkan orang menjadi benci.

Isnin, Oktober 05, 2009

Catatan Jumaat hingga Ahad

Jumaat - 2/10/2009

Pagi ini rasa tak larat nak ke pejabat. Buat keputusan untuk berjumpa Doktor.
Jam 9.00 pagi pergi ke Pantai Hospital, Ampang. Doktor yang nak ditemui hanya ada di kliniknya jam 2.00 petang. Balik ke rumah. Lepas Along balik dari Solat Jumaat, lebih kurang jam 2.30, pergi semula ke Hospital. Cek itu ini, ambil beberapa jenis ubat dan sedut nebulizer. Dapat MC - balik ke rumah - tidur!

Malam - ke Chow Kit. Beli bahan-bahan perencah (serai/daun kunyit/bawang/cili kering dll) untuk buat rendang ayam yang diminta oleh teman merangkap adik kesayangan untuk rumah terbukanya Ahad nanti.


Sabtu - 3/10/2009

Jam 7.15 pagi ke Chow Kit lagi bersama suami. Beli 7 ekor ayam dan 5 kilo santan.
Balik, singgah minum kat kedai berdua-duaan. Sampai rumah 'mengerjakan ayam'.

Tengah sibuk kat singki dengan ayam mati tu, suami dapat panggilan dari boss lamaku yang kini menjadi Pegarah di sebuah Jabatan Kerajaan di Kuantan dan bergelar Dato' nak singgah ke rumah dalam setengah jam lagi. Terlompat aku! Bukan kerana apa, tapi apa pulak yang nak kuhidangkan? Tapi, tak kisah la.. aku dan suami dengan bekas boss ku tu dah kenal lama dan hubungan kami agak rapat. Dia biasa melepak di rumah sempitku itu.

Elok saja aku berkemas dan mandi, duduk lepak sekejap, bekas bossku bersama isteri dan dua anaknya sampai. Sembang-sembang kejap. Dia dalam perjalan ke Petaling Jaya untuk menjemput anak kembarnya yang baru habis peperiksaan. Kemudian kami ke dapur untuk menjamah hidangan seadanya.

Bila bossku dan keluarganya keluar dari rumahku, kami sekeluarga bergegas pula bersiap untuk memenuhi jemputan rumah terbuka di Kajang. Dari Kajang, ke rumah terbuka merangkap majlis sambutan hari lahir di Bandar Tun Razak. Balik ke rumah dah petang tapi belum masuk waktu Asar. Masih sempat untuk Zuhur.

Petang, aku mengupas bawang, membuang biji cili kering, memotong halia dan menghiris serai serta daun kunyit. Kemudian aku berehat sambil menantikan kedatangan adikku Nora dan keluarganya yang berjanji akan sampai petang ini. Sampai aku dah terlelap, mereka belum sampai! Hanya jam 7.00 petang baru mereka muncul. Raya lah katakan...

Kesian Nora dan Aqib, banyak sangat 'berjalan dalam kereta' agaknya, mereka keletihan dan kurang sihat. Tak apalah, berehat dulu ya.. walaupun masih sempat untuk bergosip lebihkurang!

Setelah mereka semua naik ke bilik tidur, aku mengambil keputusan untuk mengisar bahan-bahan untuk merendang ayam esok pagi.

Ahad - 4/10/2009

Aku bangun seawal 4.30 pagi untuk mula masak rendang ayam. Bukan tiada kuali besar di rumahku yang boleh memuatkan 7 ekor ayam itu. Masalahnya, dapurku pula terlalu kecil untuk menampung kuali tersebut. Berlanggar ke dinding la jawabnya. Akhirnya, aku terpaksa menggunakan tiga kuali untuk memasak!

Adikku Ummie yang hendak membuat jamuan itu juga ada menempah 600 cucuk sate. Along ditugaskan untuk mengambil sate itu kerana dia saja yang tahu tempatnya. Kerana komunikasi yang tidak lancar tempahan itu hanya siap jam 11.45 pagi. Sepatutnya jam 11.00 dah siap. Berkali-kali, tauke sate itu memohon maaf dari 'Tuan Imam Mustaqim' @ Along atas kelewatan itu.

Setelah semuanya siap, kami (aku dan keluarga serta Nora sekeluarga) begerak ke rumah Ummie di Taman Puncak Jalil. Jam 1.30, kami keluar dari rumah Ummie. Aku sekeluarga balik ke rumah dan Nora sekeluarga terus pulang ke Kuantan. Elok saja sampai di rumah, suamiku menerima panggilan dari temannya, mengingatkan agar segera datang ke Majlis Perkahwinan anaknya. Kerana MRR2 sentiasa sesak, aku dan suami menunggang motorsikal saja ke majlis tersebut. Anak-anak tinggal kat rumah.

Dari majlis perkawinan, balik ke rumah, singgah pula di rumah jiran (tak pergi memang tak patut - hanya berselang pintu) untuk rumah terbukanya pula. Minum saja lah dan jamah sedikit mi udangnya. Nasib baik kat majlis kahwin tadi, aku tak menjamah apa-apa. Namanya saja hidup berjiran, setahun sekali nak jejak ke rumah jiran pun payah!

Jam 5.15 petang, keluar pulak untuk menghantar angah balik ke kolejnya. 7.55 sampai baik ke rumah, selepas menunaikan solat maghrib, ke rumah jiran yang langsung tak berselang pintu pulak! Memang sangat-sangat tak patut la pun kalau tak pergi, kan? Keluar dari rumah itu, naik kereta pulak ke rumah kenalan suami. Sudahnya sampai balik ke rumah dah dekat pukul 11.00 malam.

Letih memang letih... tapi, pakaian yang belum bergosok perlu di bereskan. Siap semuanya, aku pun tak sedar jam berapa aku terlelap sebelum bangun semula 4.45 pagi tadi...


p/s : untuk Nora sekeluarga, kakcik mohon maaf banyak-banyak atas segala kekurangan yang memang sangat-sangat terasa sewaktu Nora berkunjung ke rumah kakcik kali ini.... Kakcik tahu Nora amat memahaminya.. (sobss... sobss...)

Khamis, Oktober 01, 2009

Mi kari


Semalam sepuluh orang kawan angah datang ke rumah. Yang paling ringkas dapat ku sediakan cuma mi kari. Itu pun, balik dari pejabat, singgah kat pasar Chow Kit untuk beli bahan. Balik ke rumah terus masak. Elok maghrib, budak-budak tu sampai. Lepas solat dia orang makan sampai licin. Nasib baik angah tolong berkemas.

Angah kata, hari Sabtu ni dia orang boleh datang lagi tak? Nak rasa nasi ayam mak pulak! Aduhai... Aku ni kalau terlalu letih pun, boleh jadi susah tidur. Malam tadi pukul 12 belum tidur lagi. Siap gosok pakaian, lipat dan susun kain baju lagi.

Sempat juga 'tertonton' cerita Akhirat kat TV3.. tak faham aku. Menyampah pun ada, macam tak kena gaya je 'Dr. Maznah Zulkifli' bercakap. Sudahnya, temankan adik ngan bangcik tonton cerita Congkak kat Astro Ria. Budak-budak ni pun, dah tahu takut tak payah la tengok.. paksa pulak mak temankan. Kebetulan semalam aku bawa papan congkak yang dah lama aku pinjamkan untuk aktiviti pejabat. Aku cakap ngan adik.. tak payah main, kang antu datang.. Tak pulak dia takut..

Isnin, September 28, 2009

Ikhlaslah....

Minggu lepas, aku mengajak suami 'merayau-rayau' sebelum masuk pejabat untuk mencari sarapan. Kebanyakan kedai makan Melayu belum dibuka kecuali kedai Mamak. Aku dah jemu makan roti dan makanan-makanan yang tiada rasa pedas. Kedai-kedai yang dah dibuka di Kg. Baru, tidak menarik seleraku, kerana kebanyakannya (mungkin hanya pekerja) adalah warga Indon. Kalau tiada halangan memang aku ingin berpuasa sahaja.

Akhirnya, aku melihat seorang wanita yang berpurdah bersama dua orang anaknya berniaga nasi lemak di tepi jalan Chow Kit. Aku minta suami berhenti untuk membeli sebungkus nasi lemak. Aku mengambil lauk rendang daging (walaupun kulihat rendang itu begitu kering dan tidak menarik). Setelah membayar RM3 untuk nasi lemak itu, suami menghantarku ke pejabat.

Sampai di pejabat, aku membuka bungkusan untuk makan. Aduhai, rendang itu begitu masin dengan daging yang tak mampu gigiku untuk menggigitnya! Mungkin agaknya rendang lebihan hidangan raya yang dipanaskan berulang kali. Akhirnya menjadi habuan tong sampah! (Padan muka aku, malas sangat bawa bekalan makan, siapa suruh)

Soalnya, ikhlaskah wanita itu berniaga untuk menjana pendapatan?? Aku juga kesal, takut penampilannya akan menjadi persoalan dengan sikapnya itu...

Jumaat, September 25, 2009

Jin Islam???

(ini bukan cerita Jin Notti tau...)

Pagi ini, aku bangun jam 5 pagi untuk mengingatkan Along (selalunya dia tak pernah lupa) yang dia perlu ke masjid untuk mengimamkan Solat Subuh. Selepas itu, aku tertidur balik. Bila bangun pada jam 6 pagi, aku terdengar suara lelaki mengaji. Walaupun tertanya-tanya, tapi aku tidak menghiraukannya. Mungkin ustaz sebelah rumah dah balik atau suara dari pembesar suara surau berhampiran. Mungkin juga dari radio atau tv yang terpasang. Tapi semuanya bukan.

Bilik Angah pun masih gelap walaupun aku telah mematikan suis pendingin hawa. Suara itu seolah-olahnya datang dari bilik Angah. Mungkin aku teringat-ingatkan Lokman (anak angkatku yang menjadi imam tarawikh sepanjang bulan Ramadhan lalu dan telah pun balik ke kampung halamannya di Takbai, Thailand beberapa hari sebelum 1 Syawal). Lokman memang rajin membaca Al Quran sama ada waktu pagi atau petang. Usianya baru saja 19 tahun - sebaya Angah.

Suara orang mengaji itu masih kudengar sewaktu aku bersiap-siap memakai tudung untuk ke pejabat. Kebetulan Along pun dah balik dari masjid. Aku cakap kat Along, 'mak dengar suara orang mengaji'. Selamba je Along jawab, 'Jin Islam'. Entah kenapa, tiba-tiba bulu romaku meremang!

Wallahhuaklam....

Khamis, September 24, 2009

Boringnya...


(gambar sekadar hiasan)

masih tak ada orang kat pejabat ni... nak bancuh air pun, siapa yang nak minum??? hmmmmmm.......

Rabu, September 23, 2009

Konfius!

Sampai kat pintu pagar pejabat hari ini, aku jadi konfius... hari ini masih cuti umum ke??? Pintu besar hanya bukak sebelah - itu pun untuk laluan sebuah kereta saja.. ish! biar betul.... Kat tempat letak kereta pun lengang je.. sebiji kereta pun tak ada. Aku tanya suami, 'hari ni masih cuti ke?? ada pengumuman yang kita tak tahu ke??'. Suamiku jawab, 'mana ada'..

Semasa mengambil kunci pejabat dari pengawal keselamatan (jam 6.45pg), aku tanya pulak kat pak guard tu..'hari ni cuti lagi ke? kenapa pagar besar tu tak bukak seperti biasa??' hish.. dia pun turut sama konfius!

Apa-apa aje la labu!

Kepada semua yang menghantar sms ucapan Selamat hari Raya, aku mohon maaf kerana satu pun aku tak balas. Dan aku pun tak menghantar walau satu pun ucapan melalui sms. Alasannya hanya aku saja yang tahu!

Isnin, September 21, 2009

Duit Raya

Alangkah serba salahnya, sewaktu kita membuka beg tangan untuk mengambil kunci kereta, adik-adik ipar menolak anak-anak ke depan sambil berkata 'cepat, Makcik nak bagi duit raya tu'. Kalau kebetulan memang ada duit, tak mengapalah.. Buatnya waktu itu memang betul-betul 'sengkek', macamana???

Kerana itulah, aku mengajar anak2ku... kita bertandang ke rumah saudara mara atau sahabat handai adalah untuk berziarah dan mengeratkan tali persaudaraan. Bukan untuk mengharapkan 'duit raya'. Jangan samakan taraf kita seperti peminta sedekah. Kalau orang beri, kita terima. Jangan mengharap atau meminta2...

Ahad, September 20, 2009

Selamat Hari Raya

Along dah keluar untuk mengimamkan solat sunat Aidil Fitri

Suami pulak sedang menonton TV - di TV Najib sedang beri ucapan sambil berpesan-pesan untuk berhati-hati di jalan raya.

Angah dalam bilik pun mengdap TV

Bangcik tidur balik selepas solat subuh tadi

Adik masih lena

Aku dah siap masak rendang ayam, kuah kacang, nasi impit (teh O tak tinggal)

Sekejap lagi - lepas solat Aidil Fitri, bercadang untuk balik ke Teluk Intan...

Cuaca di luar nampaknya terang (tapi hatiku tak seterang cuaca itu!). Mudah2an hujan tak turun hari ini.

Bapa dan adik-adikku berada di kampung untuk dua tiga hari

Untuk Almarhum Mak, hanya doa yang dapat kutitipkan

Untuk adikku yang terhijab jalan pulang.. mudah2an hijab itu akan terbuka di hari yang mulia ini..

Hmmmmmmmmmmm.........

Untuk semua kawan-kawanku di maya ini... Selamat Hari Raya, dalam bergembira, jangan lupa yang tiada.. Semoga selamat semuanya..