Mahu tak mahu, sedar tak sedar, perjalanan hidup ini semakin hampir ke destinasinya. Walaupun kita cuba menafikan, saat itu akan tiba jua...
Malam tadi, pukul 9.00 lebih waktu di Kuala Lumpur, saatnya bagaikan begitu hampir denganku. Bersediakah aku? Bersedia atau tidak ... andai saatnya tiba, siapakah yang dapat menghalang?
Aku terjaga dari tidur. Tiba-tiba saja tekakku terasa begitu kering. Aku sudah tidak tahu bagaimana hendak bernafas. Terawang-awang tanganku - tak tahu apa yang hendakku capai. Tercungap-cungap. Langsung tidak terasa liur yang ku telan. Tidak juga terasa udara yang kuhirup. Rengkungku bagai langsung tidak berfungsi lagi. Ternganga-nganga.
Dari beberapa hari lepas, aku memang amat mengingati tarikh 'pemergian' mak. Dan saat aku 'bergelut' itu, aku masih sempat berfikir - 'apakah aku akan menyusuli mak ke sana?'
Suamiku bagai hilang arah melihat keadaanku. Terjerit-jerit memanggil Angah (Along masih belum balik dari masjid). Ke atas ke bawah suamiku - tak keruan. 'Cepat..cepat.. ayah nak bawa mak ke hospital...'. Dalam keadaan begitu, aku masih waras. Masakan aku hendak ke hospital dengan berkaftan? Cepat-cepat aku menyalin pakaian dalam keadaan termengah-mengah.
Suami meminta Angah 'mendukung' (biar betul?!) aku. Sebenarnya mungkin dia maksudkan 'memimpin' aku ke kereta. Sementara itu, dia (suami) sendiri membawa kereta ke depan pintu. Kalau namanya Angah, memang lambat sangat bertindak.. masih lagi nak menyalin pakaian (agaknyalah..), sedangkan aku sudah pun masuk ke dalam kereta. Tak mahu berlengah, tanpa Angah, suami terus memandu ke arah hospital sambil mengingatkanku supaya sentiasa ingat pada Allah, pejamkan mata dan tenangkan fikiran.
Jalan pulak agak sesak. Sampai saja di hospital (aku tak mahu sebut hospital mana - sebab ada rasa terkilan di hatiku!), suami dengan segera ke kaunter. Tak sampai 10 saat, dia berpatah balik ke kereta dan memarkir kereta betul-betul di hadapan pintu masuk Kemalangan dan Kecemasan. Pembantu Hospital segera membawa kerusi roda dan aku disorong ke kerusi untuk terus menerima rawatan nebulizer. Beberapa kali aku termuntah yang hanya mengeluarkan lendir jernih.

Selepas selesai mengambil gas, dalam sejam aku dibiarkan duduk di kerusi kononnya untuk berehat. Malas nak komen lebih-lebih. Mungkin itu yang dinamakan 'prosedur'. Dah le sejuk menggigil. Akhirnya aku boleh bernafas seperti biasa - itu yang penting.

Selepas mengambil Asthalin Inhaler di kaunter, aku masuk ke kereta untuk balik ke rumah. Sempat lagi aku cakap kat suami, 'saya nak makan prosperity beef burger'. Masa tu, dah jam 11 malam. Tak kira - aku nak makan juga (dah beberapa hari sebenarnya aku tak makan nasi.. konon nak turunkan berat badan!). Suami pun ikut sajalah kehendak isterinya ini.

Pagi ini, aku rasa badanku teramat-amatlah lemahnya. Mahu tak mahu, aku terpaksa bangun juga untuk ke pejabat. Cutiku cuma tinggal sehari dan doktor juga tidak memberikan cuti sakit. Nasib baiklah, tidak banyak yang perlu kulakukan di pejabat ini. Alhamdulillah.