Klik klik

Jumaat, Februari 26, 2010

Jom Jawab...



Semut melata di Bukit Raja
berjumpa cendawan lalu dipanjat
kononnya kita sama sahaja
mengapa berkawan memilih darjat?

Sudah merekah buah delima
diadun dengan sirap selasih
siapa sahaja sanggup diterima
simiskin yang datang mengapa disisih?

Berkelip-kelip lampu pelita
dinyalakan orang di waktu malam
budi bahasa budaya kita
mengapa berat memulakan salam?



jawab.. jangan tak jawab... :)

Khamis, Februari 25, 2010

Sepetang yang melelahkan..

pstttt.. mummy.. tolong iklan ni.. boleh dapat makan free ke?? (gambar dr rumah pakcik google)

Dalam keadaan cuaca yang panas, kesihatan yang tidak begitu baik. ES jemput di pejabat hampir 6.30 petang. Jemput pula rakan ES di Cititel Mid Valley. Bawa ke Jalan TAR. Maghrib di surau Jakel. Hantar semula rakan ES ke Cititel. Sampai rumah hampir 9.30 malam. Tak larat lagi nak main masak-masak. Makan di Moon's Kitchen - western food. Tapi, ES dan Adik memang tekak Melayu - makan nasi dengan lauk pauk serta ulam dan sambal belacan.

Balik ke rumah - tidur. Bangun pukul 4.00 pagi untuk lipat dan gosok pakaian. Masak lebih kurang...

Ya Allah, aku bersyukur dengan rezekiMu. Aku sentiasa yakin dengan janjiMu. Along dah mula mengajar semula di Sekolah Rendah Agama. Tugasnya sebagai Imam Masjid juga tetap berjalan di samping memberi ceramah mengikut kemampuannya. Aku tak pasti sama ada dia mampu untuk meneruskan tugas mengajar mengaji di rumah orang. Berikanlah anak-anakku rahmat dan limpah kurniaMu, Ya Allah. Amin

nota jari : tak jadi bercuti hari ini kerana ES ada urusan yang perlu diselesaikan sebelum menyambung tugasan di Sarawak minggu depan..

Rabu, Februari 24, 2010

Cuti



kakcik akan bercuti dari 25/02/2010 sehingga 04/03/2010. InsyaAllah, kalau rajin, akan kembali bersiaran pada 05/03/2010 (seandainya umur masih panjang dan kekuatan masih ada)

Isnin, Februari 22, 2010

Satay Station di Kg. Pandan






gambar-gambar diambil dari rumah pakcik google

Semalam selepas Maghrib, aku bersama ES dan anak-anak pergi makan di Satay Station, Kg. Pandan. Selalunya, aku makan satay ini yang dibeli oleh Along. Sataynya besar dan lembut. Kuah kacangnya pun sangat sedap. Di sini, hanya ada dua jenis makanan sahaja iaitu satay dan mee rebus. Mee rebus pun sedap - memang berbaloi-baloi.

Along kenal dengan pemilik restoran ini iaitu En. Zul. Semalam, En. Zul datang ke meja kami dan bersembang mengenai sejarah bagaimana beliau memulakan perniagaan ini. Masa awal pembukaan restoran ini dulu, nak jual 100 cucuk satay sehari pun payah. Sekarang, beliau mampu menjual sehingga 12,000 cucuk sehari. Alhamdulillah.

Syukur juga ke hadrat Illahi, semalam kami anak beranak makan percuma. En. Zul belanja. Semoga rezeki En. Zul terus melimpah ruah dan perniagaannya berkembang maju.

Memang selesa makan di restoran ini, kalau makan di sebelah dalam, ada penghawa dingin dan bilik-bilik disediakan. TV pun ada tapi bukan di semua bilik.

Sabtu, Februari 20, 2010

Gatal Hidung



rimas sungguh! tergaru-garu.. rasa macam nak cabut hidung, letak dalam air panas! Dah dua kali buat rawatan (pembedahan?) membuang folip-folip dalam ruang sinus di pipi yang setiap satunya menelan belanja ribuan RM (itupun atas ihsan Syarikat tempat suami 'cari makan' - kalau tidak, tak akan buat sama sekali!).

Bila tergaru-garu macam ni, rasa comot dan selekeh sangat.. huhuhu....

Jumaat, Februari 19, 2010

Jumaat


Penghulu segala hari..

aku baru bersiap-siap nak mandi
nak ke pejabat sekejap lagi
dah siap masak nasi
dah siap bawal goreng bercili
dah cincang kubis dan lobak sebesar lidi
semoga anak-anak puas hati...

Rabu, Februari 17, 2010

Shamsudin Sulaiman


untuk kisah selanjutnya sila layari :
http://lailagmi.blogspot.com/2010/02/maaf-atau-mati.html

Catatan : Shamsudin (kupanggil beliau Din) adalah teman sepejabatku satu waktu dulu.. besar sangatkah kesalahan yang dilakukannya? Allah jua Yang Maha Mengetahui. Bagiku dia seorang yang baik, rajin belajar agama, suka menegur perkara-perkara yang ditegah agama (dan kerana itu ada yang membencinya). Aku sedih bila mengenangkan nasibnya.. :(

Selasa, Februari 16, 2010

Bertemu akhirnya..

(gambar cetak rompak dari blog Akak - kamera sendiri dibawa, tapi tak ambil gambar sebab seronok bercerita dan sibuk garu hidung yang gatal)



ralit mendengar penjelasan dari Fa sebab-sebab kelewatannya..

pertemuan pertama kali dengan Cikgu Fa Aintsuperwomen dan yang kedua kali dengan Pn Rahmah Akak. Papparich ke mana, nasi lemak ke mana.. tersurat pertemuan di rumah Dik Mah. Sekejap sangat rasanya.. InsyaAllah, akan ada lagi pertemuan selepas ini.. siapa nak turut serta, sila angkat papan kekunci... :)

Isnin, Februari 15, 2010

Angin


bukan setakat angin sepoi-sepoi bahasa atau tak tahu bahasa.. tapi dah hampir jadi tsunami... bagai gunung berapi yang mahu sahaja memuntahkan laharnya...

HUH!

Khamis, Februari 11, 2010

Suatu waktu dulu

Dua hari lepas, semasa aku terjumpa semula puisi Buat Suami, aku juga terjumpa sebuah puisi yang kucoretkan di buku catatan harian seorang teman. Waktu itu, aku belum lagi bertemu jodoh dengan suamiku. Bagaimanapun, aku dan En. Suami bernikah pada penghujung tahun yang sama. Saat aku hulurkan kad undangan pada teman tersebut, dia bertanya padaku apakah kekurangan dirinya menyebabkan aku tidak menerimanya? Aik???? bila masa pulak aku bercinta dengannya? Bukankah hubungan kami selama ini setakat 'teman tapi mesra' sahaja.. hehehe..

Dipendekkan kisah, selepas lebih 4 tahun berkahwin dan mempunyai 2 orang anak, aku bertukar tempat kerja. Tanpa disangka, aku menerima sekeping kad dari teman tersebut bersama sebuah puisi yang dikembarkan bersama puisi yang kutulis di buku catatan hariannya dulu...

Inilah puisiku itu...

Esok dan Semalam

esok yang kunantikan
telah menjadi semalam
yang tak bermakna
dibelit seribu kehampaan
yang bersarang
di teluk perasaan

hanyalah perjalanan waktu
di rimbunan sepi
menjadi pembelenggu
yang tak pernah menjanjikan
sebuah kebebasan

semalam
tetap menjadi kenangan
yang membuatkan aku
begitu segan
untuk menampung lagi pengharapan
pada hari yang bernama esok

meski esok kan datang lagi
dan arus waktu
menghanyutkan usiaku
ke kuala kedewasaan
aku masih belum pasti
di sana
apa atau siapakah
yang menanti...

(2/4/1986 - 2.00 ptg)


ini pula puisi tanpa tajuk dari 'sidia'

Sahabat..!
antara dua rona senja
kita terpaku dalam pertemuan
dan terisilah ruang-ruang perantaraan
di cecelah senyum dan tangis
hati kita menjadi satu
meneruskan langkah-langkah selari
menuju hari tua

Sahabat..!
pun tiba-tiba waktu menjadi terlalu cemburu
untuk kita terusan berbicara
tentang hasrat dan kehidupan
tentang dunia dan kematian

dalam termangu kau pergi..
meninggalkan kami..

Sahabat..!
kerna janji seputih salji mengikat hati
lantaran medan perpisahan ini mendaki
dalam diam-diam
kita sebenarnya
mengutip sebutir rindu dan kemesraan.

(30/10/1991)

Rabu, Februari 10, 2010

Selamat Ulang Tahun Kelahiran En. Suami - 10/02/2010





Semalam, aku jumpa semula puisi yang kunukilkan pada 21/10/1997 (kusimpan sendiri puisi ini kerana En. Suami bukanlah seorang yang faham dengan kata-kata puitis..hehehe..)

Buat Suamiku

Suamiku
andainya suatu hari nanti
senyumku adalah sembilu
yang menusuk hatimu
keringatku adalah racun
yang menyesakkan nafasmu

berterus teranglah..
kanku cuba mengerti

Suamiku
andainya pula
tangisan anak-anak
yang lahir hasil percantuman kasih sayang kita
memekakkan telingamu
menaikkan tahap amarahmu

nyatakanlah..
kanku cuba memahami

Suamiku
satu waktu dulu
di saat susah dukamu
aku di sisi bersama mengharungi
manalah tahu
esok lusa
di saat suka ceriamu
tiada lagi aku di hatimu

Suamiku
aku hanya insan
yang bergelar perempuan
betapa sekiranya aku menentang
bukanlah talak itu di tanganku

Suamiku
demi anak-anak
kurela pendamkan segala duka

Suamiku
demi Tuhan
yang menjanjikan
syurgaku di kakimu

aku pasrah
kerana kau pilihanku...
.

(puisi ini hanya sekadar luahan hatiku waktu itu. Syukur padaNya kerana dari saat diijab kabul sehingga kini, suamiku tetap seorang lelaki yang baik bagiku dan anak-anak. Pergeseran adalah sesuatu yang biasa dalam rumahtangga, tapi tidaklah sehingga menjadi tsunami yang memusnahkan segala-galanya.)

Isnin, Februari 08, 2010

Dugaanku (Nyanyian Ning Baizura)

hati pedih menangis,
jiwaku yang suram,
malam yang panjang,
ingin aku bersendirian..

merenung kehidupan,
memikir kesudahan,
pada siapakah hendak ku curah,
keresahanku..

aku berpaut pada sejengkal tali cuma,
itulah yang ada sementara aku hidup di dunia ini,
inikah dugaanku,
inikah kesempatan,
haruskah ku terus atau membiarkan ianya berlalu..

dekat didepan mata,
berat meluah kata,
terpendam segala apa dirasa,
sekian lama ini..

apakah kita nanti,
tiada dapat serasi,
ataukah hanya aku bermimpi,
untuk memiliki..

aku berpaut pada sejengkal tali cuma,
itulah yang ada sementara aku hidup di dunia ini,
inikah dugaanku,
inikah kesempatan,
haruskah ku terus atau membiarkan ianya berlalu..

kesempatan yang datang tiada ketentuan,
puasku memandang di kejauhan tak kesampaian..
sering terbayang-bayang,
tinggi lagi harapan,
adakah kusempat atau pun tidak,
untuk bersamamu...

Sabtu, Februari 06, 2010

Mari Berpantun Lagi

rebus ubi dibuat sira
untuk hidangan di tengahari
saat ketawa bersama gembira
kala berduka sepi sendiri

untuk hidangan di tengahari
tidak pula habis dimakan
kala berduka sepi sendiri
orang lain usah libatkan

tidak pula habis dimakan
simpan dahulu dibuang jangan
orang lain usah libatkan
mereka jua ada rintangan

~~~~~~~~~~~~~~~~*******~~~~~~~~~~~~~

Jumaat, Februari 05, 2010

Aku di sini


Syukur kepadanya kerana masih memberi peluang untukku bernafas.

Dua hari satu malam di Hospital Pakar Al Islam, Kg. Baru untuk menjalani satu prosedur.

Hari ini sepatutnya masih bercuti (cuti sakit), tapi menghadirkan diri di pejabat. Bukan kerana terlalu rajin untuk bekerja. Ada alasan tersendiri yang kemudian saja mungkin boleh diceritakan...

Selasa, Februari 02, 2010

Jangan Bersedih (La Tahzan)


aku beli buku ini (versi kecil - ada 3 siri) semasa berjalan2 di Kuching tempohari

hari ini.. sewaktu membaca.. aku menjadi sebak (hanya Dia Yang Maha Tahu kenapa) walaupun tajuknya 'Jangan Bersedih'..

....Cuba anda buka kembali catatan dunia tentang perjalanan hidup ini! Dalam salah satu babnya diceritakan: Seorang ayah telah memelihara anaknya dengan baik; ia memberinya makan, pakaian dan minum, mendidiknya hingga menjadi orang pandai, rela tidak tidur demi anaknya, rela tidak makan asal anaknya kenyang, dan bahkan bersusah-payah agar anaknya bahagia. Namun sebaliknya, ketika sudah berkumis lebat dan kuat tulang-tulangnya, tiba-tiba ia menjadi seperti anjing liar, meremehkan jasa orang tuanya. Ia tidak hanya berani menghina, tetapi juga melecehkan, acuh tak acuh, bongkak, dan derhaka terhadap orang tuanya. Dan semua itu, ia tunjukkan dengan perkataan dan juga tindakan....

akukah si anjing liar itu??? :(

Isnin, Februari 01, 2010

Hujung minggu yang lesu

...hampir sahaja dimasukkan ke wad kerana kesukaran untuk bernafas, ditambah dengan badan yang seram sejuk tetapi bukan demam dan selera makan yang tiba-tiba bagaikan hilang....

kepada semua komen-komen yang kakcik tak jawab untuk catatan di bawah sana, harap maaf, kakcik cuma mampu membaca sahaja...