Untuk menaip catatan ini, aku telah berfikir ratusan kali. Aku tak mahu apa yang aku paparkan disalah erti. Tak mahu dikatakan mengada-ngada atau terlalu meminta-minta. Tak mahu juga dikatakan sombong, tidak memahami, tidak mengenang budi atau sebagainya. Walau apapun, ini hanyalah catatan pengalamanku. Itu adalah fakta (pinjam perkataan yang selalu digunakan oleh Sdr Mazidul).8 hari 7 malam aku di hospital. Aku mengharapkan sakit yang kuderitai akan segera sembuh dengan izinNya. (Saat ini, aku masih lagi mengalami kebas kaki kiri - dulu kanan - yang kadangkala membuatkan aku amat sukar untuk melelapkan mata).
Apa yang ingin aku sentuh adalah berkenaan
penyediakan hidangan makanan kepada pesakit. Ampunkan aku Ya Allah, seandainya aku ini termasuk dalam golongan yang tidak tahu bersyukur. Tapi, bagaimana tekakku boleh menelan makanan yang disediakan bilamana dibuka sahaja penutup hidangan, yang terlebih dahulu keluar adalah bau yang amat hanyir. Ikannya pula 'keras berdentung'. Sayur pula 'dicincang semahunya'. Usah cerita bab rasa.. mungkin memang sesuai untuk para pesakit yang perlu dikurangkan segala rasa - yang ada hanya rasa tawar! Sesekali dihidangkan ayam - kalau besar potongannya, bermakna lebih tulang dari isi. Kalau diberi isi, hanya 3 ketul sebesar ibu jari kaki.
Selang 2 hari, aku akan menerima hidangan yang sama - ikan keras yang berbau hanyir. Aku tak berani hendak menuduh walaupun hatiku berdetik juga.....
Bila aku fikirkan semula, berapa banyak agaknya makanan yang terbuang begitu sahaja? Tidakkah itu membazir namanya? Kalau dibuang, ke mana agaknya? Alangkah lebih baik kalau hanya dihidangkan nasi panas bersama telur mata kerbau yang ditabur dengan bawang dan cili goreng bersama semangkuk sayur yang 'ada rasa bukan rasa tawar'. Tapi... akan ada juga rungutan dan sungutan, kalau itu yang dihidangkan. Bagaimana agaknya pihak yang diberikan tanggungjawab menyediakan hidangan itu membersihkan ikan dan segala masakan? Mengapa terlalu hanyir? Mengapa sayurnya dicincang bagai hendak memberi makan kepada ternakan? Kurang kakitangan? Kurang modal? Atau apa? Atau apa?
Paling penting yang hendakku tekankan.... SAMPAI BILA HARUS BERLAKU PEMBAZIRAN????
(Sempat juga aku berfikir.. ke mana agaknya para jururawat yang lebih berusia, ya? Sepanjang aku menerima rawatan, kebanyakannya hanya jururawat yang berusia di bawah 30 tahun yang kutemui - termasuk para pelatih yang datang dari pelbagai kolej yang seusia anakku)