Sebenarnya, aku tidak pun bercadang untuk bercuti panjang di awal-awal tahun ini. (Setakat ini, aku sudah menghabiskan cuti tahunan sebanyak 7 hari). Lagipun, aku bukan orang yang punya wang 'berkepuk' untuk dihabiskan sesuka hati. ES ada tugas yang perlu diuruskan di beberapa tempat di Sarawak. Seperti biasa, dia lebih suka sekiranya aku (kalau boleh dengan anak-anak sekali) menemani perjalanannya. Setelah beberapa kali menyemak tiket penerbangan Air Asia dan juga MAS, akhirnya aku membuat keputusan untuk menempah tiket penerbangan MAS dengan tambang yang agak murah. Cuma RM382.00 untuk perjalanan pergi balik KL - Miri - KL. ES tiada masalah, segala perbelanjaannya ditanggung oleh Syarikat tempat beliau bertugas sebagai pemandu. Kami memilih jadual penerbangan yang sama.
Ahad - 28/2/2010, seawal 5.45 pagi kami keluar dari rumah dengan menempah teksi jiran. Solat subuh di KLIA. Penerbangan dijadualkan pada jam 8.30 pagi. Tiba di Miri, lebihkurang jam 10.45 pagi. Seorang rakan ES telah pun menunggu. Kami terus ke Hotel Imperial untuk daftar masuk.

Bagi ES, dia lebih suka sekiranya dapat meneruskan kerja. Tapi, keadaan di Miri tak seperti di Kuala Lumpur yang segalanya perlu pantas. ES merungut kerana terpaksa mengguhkan kerja. Selepas masuk ke bilik, kami dibawa oleh teman ES ke restoran untuk makan tengahari. Makanan yang popular di sini buat masa ini adalah 'Nasi Lalapan' (sama seperti nasi ayam penyet - cuma ayamnya tidak diketuk).
1/3/2010 - Aku, ES dan temannya, menaiki pesawat MASwing (tambang 2 hala RM302.00) dari Miri ke Mulu. ES dan temannya perlu membuat anggaran perbelanjaan untuk program Integrasi Nasional di sini. (Mahal melampau! - lebih baik tak payah). Lapangan terbang Mulu adalah sebuah lapangan terbang kecil di mana pemunggahan bagasi dibuat secara manual dan dilonggokkan di atas meja panjang untuk diambil (tiada landasan bagasi bergerak).


Kami menginap di Royal Mulu Resort (RM350.00 siap makan malam dan sarapan pagi). Sekali lagi, aku lebih senang untuk memerap di dalam bilik, saat ES dan teman-temannya meneruskan kerja mereka.

Di sebelah petang, walaupun malas, aku ikut juga ES ke rumah Penan. Menaiki tut-tut dengan bayaran RM6.00 sehala untuk seorang (bermakna kami membayar RM24.00) bagi perjalannya yang memakan masa lebihkurang 15 minit pergi dan 15 minit balik. Tiada apa sebenarnya untuk dilihat. Dengan menggunakan bahasa isyarat, ES mempelawa 2 orang warga emas Penan untuk bergambar denganku. Mereka memberi isyarat jari menunjukkan angka 2. ES pun memberi RM2.00 seorang kepada mereka. (Entah2 mereka minta RM20.00, tak?)
(aduhai.. aku yang terlebih makan? cuaca terlalu panas sehingga aku membuka sarung tangan yang kupakai dan peluh menitik membasahi muka)Balik dari rumah Penan, kami singgah di restoran resort untuk memesan sedikit makanan sebagai alas perut sebelum makan malam. ES memesan dua set sandwich dan dua
'fresh orange'. Makanan ini berharga RM16.00. Aku ingin mengingatkan, selepas ini, sekiranya anda ingin memesan minuman, jangan pesan
fresh orange, sebaliknya - mintalah
'orange juice'. Pesanan pula hanya tiba selepas hampir sejam menunggu!

Di sini, air minuman/air mineral sebotol kecil berharga RM3.00 dan sebotol besar berharga RM6.00. (Nasib baik aku membawa bekal biskut, air dan mi segera setelah diingatkan oleh teman ES). Sekiranya anda punyai wang yang tak tahu hendak digunakan untuk apa, anda boleh menikmati pemandangan di kiri kanan sungai dengan menaiki bot. Perjalanan bagi tempoh 45 minit dikenakan bayaran RM90.00 seorang. Kerana aku tak punya wang untuk digunakan sesuka hati, tidaklah aku dan ES teruja untuk menikmati perjalanan tersebut. :)
Makanan yang disediakan untuk makan malam boleh tahan juga. Jam 8.00 malam, persembahan kebudayaan yang ringkas juga dipertontonkan. Kerana takut 'ditarik' untuk menari, aku segera meninggalkan dewan makan sebaik selesai menjamu selera.

2/3/2010 - Jam 8.00 pagi, ES diberi penghormatan untuk menaikkan bendera Malaysia sewaktu pihak pengurusan dan kakitangan resort menyanyikan lagu Negaraku.


Selepas acara itu, aku masuk ke bilik, manakala ES dan 2 orang rakannya bersiar-siar ke tempat air panas yang muncul antara aliran sungai. Bayaran masuk RM3.00 seorang. Waktu balik dari tempat berkenaan, mereka bertiga di kejar anjing sehingga masing-masing berlumba untuk melepaskan diri tanpa memperdulikan orang lain lagi!
Kami sepatutnya berlepas ke Miri dari Mulu dengan penerbangan MASwing jam 1.15 petang. Kerana ada sedikit masalah, pesawat hanya berlepas lebih sejam kemudian. Saat menunggu, penumpang dihidangkan dengan minuman ringan dan pilihan mi/mihun goreng.


Penerbangan kali ini benar-benar membuatkan aku merasakan nyawaku 'bagai telur di hujung tanduk'. Penerbangan yang cuma memakan masa 25 minit, kurasakan bagai 25 jam!. Awan begitu tebal. Di sebelah bawah, pembakaran terbuka di mana-mana. Aku duduk sendirian di barisan belakang. ES pula di bahagian tengah. 2 orang rakan ES di kerusi bersebelahanku. Aku langsung tak berani untuk membuka mata!. Perut terasa memulas dan kepala berdenyut-denyut. Hanya zikir dan doa kepadaNya, mohon perjalanan kami dilindungi. Seandainya aku minum milo yang diberi oleh pramugari penerbangan, harus saja aku akan muntah.
Di dalam penerbangan tersebut, hanya kami berempat penumpang Melayu. Yang lain, adalah pelancong asing (lebihkurang sepuluh orang). Sebaik turun, ES berdekah-dekah ketawa menceritakan perihal pemuda Inggeris yang duduk di hadapannya. Pemuda tersebut duduk mencangkung di atas kerusi sambil terjerit-jerit ketakutan saat pesawat berlepas, melanggar awan dan mendarat. ES tak tahu bahawa aku - isterinya, hampir saja keras di kerusi belakang!
Kembali ke Miri, kami menginap semula di Hotel Imperial. Saat suami ke pejabat pada
3/3/2010, aku merayau sendirian di kedai-kedai yang terdapat di bawah. Sekadar membeli majalah untuk dibaca dan sedikit makanan untuk mengalas perut. Selebihnya, aku hanya berselimut di atas katil menonton HBO sehingga terlelap atau duduk di kerusi membaca suratkhabar dan majalah. Sebelah malam, rakan ES menjemput kami untuk makan di restoran pilihan mereka.
4/3/2010 - jam 10.00 pagi, aku dan ES dihantar oleh 2 orang rakan ES ke lapangan terbang. Penerbangan Miri - Kuala Lumpur berlepas pada jam 11.25 pagi. Kami tiba di rumah jam 2.30 petang dengan menaiki teksi.
Panjang pula catatanku kali ini. Adakah yang jemu membaca? Atau adakah yang sudi membaca?
(macam karangan budak sekolah rendah, kan?)